10 kes rabies babit haiwan direkodkan di Sarawak

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sarawak merekodkan 10 kes rabies melibatkan haiwan minggu ini, menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr Adrian Susin Ambud.

Beliau berkata, empat kes daripadanya dikesan di Kuching, dua di Padawan manakala masing-masing satu kes di Samarahan, Serian, Lundu dan Bintulu.

Menurut Dr Adrian, Sarawak sedang giat memantau situasi wabak berkenaan dan memperbanyak program vaksinasi antirabies di seluruh negeri.

"Kami (JPV Sarawak) ingin merayu semua pemilik anjing supaya menghantar haiwan mereka untuk vaksinasi rabies kerana ia diwajibkan mengikut Seksyen 40 Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

"Pemilik anjing mesti bertanggungjawab memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin dengan vaksin antirabies,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata pihaknya akan mengadakan program vaksinasi rabies di Dewan Terbuka Sepupok, Niah di Miri pada esok dan Ahad ini manakala di Stadium Terbuka Song, Kapit dan Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sungai Tapang Hilir, Kuching esok.

Pada 15 Ogos lepas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom dilaporkan berkata negeri itu mengalami peningkatan kes rabies haiwan dan manusia dengan 13 kematian daripada 15 kes rabies direkodkan tahun ini. - Bernama