Parti Sabah, Sarawak sokong pentadbiran Anwar walaupun tewas PRN - Ewon

Ewon (depan, dua dari kiri) ketika Majlis Ramah Mesra Usahawan dan Kontraktor di Tanjong Karang pada Sabtu.
Ewon (depan, dua dari kiri) ketika Majlis Ramah Mesra Usahawan dan Kontraktor di Tanjong Karang pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Parti Sabah dan Sarawak yang bersama Kerajaan Perpaduan ketika ini tetap memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal mentadbir negara selepas pilihan raya negeri (PRN).

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata, dakwaan kononnya terdapat cubaan bersama dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan tidak sama sekali timbul meskipun enam negeri tewas dalam PRN 12 Ogos ini.

"Sebab itu mustahil Perikatan Nasional (PN) boleh menumbangkan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan tanpa (sokongan daripada parti) dari Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Usahawan dan Kontraktor di Tanjong Karang di sini pada Sabtu.

Ewon berkata, perkara itu juga turut dipersetujui dalam beberapa siri mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan dihadiri oleh kesemua presiden parti-parti yang membentuk kerajaan Persekutuan.

"Parti daripada Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk mengekalkan Anwar sebagai Perdana Menteri sehingga penggal ini berakhir untuk tempoh lima tahun," katanya.

Justeru itu beliau berkata, UPKO kekal dengan pendirian dan keputusan mesyuarat yang telah dipersetujui bersama, tidak sesekali terlibat dengan propaganda yang cuba dimainkan oleh pihak terbabit.

Sehubungan itu, tegas beliau, Kerajaan Perpaduan ketika ini tidak boleh tumbang selagi PN tidak mempunyai sokongan daripada parti dari Sabah dan Sarawak.

"Kami tidak akan sesekali menyokong pihak atau pun gabungan parti yang cuba mengeluarkan propaganda mengaitkan isu agama dan kaum.

"Di Sabah dan Sarawak kita tidak mahu masa depan Malaysia ini berfokus kepada perkara itu sahaja kerana kita perlu melihat daripada sudut yang lebih besar," jelasnya.

Kata beliau, kerajaan yang ada ketika ini sudah cukup stabil dan bagi masyarakat di Sabah dan Sarawak mereka menjunjung apa yang termaktub di dalam perlembagaan.

"PN kita lihat seolah-olah memberi gambaran yang menakut-nakutkan rakyat Sabah dan Sarawak dan sebab itu kita tidak dapat menerima cara mereka berpolitik yang terlalu memberi fokus kepada isu perkauman," kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan, PN memberi bayangan berlaku pertukaran kerajaan jika berjaya menawan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos ini.

Beberapa pemimpin pembangkang seperti Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu penyokong bahawa kerajaan pimpinan Anwar akan jatuh selepas PRN nanti.