X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kluster Kempas catat 22 kes

R Vidyanathan
A
A

JOHOR BAHRU - Kluster Kempas iaitu kluster baharu di Johor mencatatkan 22 kes sehingga hari ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, kumulatif kes bagi kluster itu melibatkan tujuh rakan sekerja, 14 ahli keluarga mereka dan seorang pelajar.

"Setakat ini seramai 211 kontak dikenal pasti di negeri ini iaitu di Johor Bahru, Kulai dan Pontian selain di Selangor dan Melaka.

"Daripada jumlah ini, 63 adalah negatif manakala 148 masih lagi menunggu keputusan. Punca jangkitan masih lagi dalam siasatan dan kluster ini dijangka tamat pada 20 November 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagi kes melibatkan pengembara yang mempunyai perjalanan ke Sabah, beliau berkata, sehingga hari ini kumulatif kes positif adalah 37 kes.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor kekal melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang perlu bagi menangani peningkatan kes semasa.

"Penyaringan di pintu-pintu masuk masih dijalankan secara giat dengan pemasangan gelang bagi mereka yang datang dari Sabah dan ujian penyaringan Covid-19.

"Sehingga hari ini kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan di negeri ini adalah 867 kes dengan 45 kes aktif, 801 kes sembuh dan 21 kematian," katanya.

Vidyanathan berkata, semalam terdapat 15 kes baharu yang dilaporkan di Johor dan daripada jumlah itu 14 kes adalah kluster sedia ada iaitu Kluster Kempas dan satu kes baharu melibatkan sejarah perjalanan ke Sabah.

"Keadaan semasa di Johor masih lagi terkawal, namun dijangka berlaku peningkatan kes dalam masa terdekat ini dengan kemasukan kes import dan aktiviti survelan yang dipertingkatkan," katanya.

Mengenai perkembangan jangkitan Covid-19 di sekolah termasuk menjadi tular dalam media sosial, beliau berkata, sekiranya terdapat kes positif tindakan siasatan dan kawalan akan diambil segera oleh pihak jabatan kesihatan.

Menurutnya, tindakan saringan kontak serta ujian Covid-19 akan dijalankan terhadap individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat serta arahan kuarantin dan pengasingan di rumah selama 14 hari.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan sekolah di Johor untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar mengekalkan status risiko penularan Covid-19 yang rendah di persekitaran sekolah.

"Ibu bapa dinasihati untuk sentiasa memberi kerjasama kepada pihak sekolah dan pihak jabatan kesihatan dengan mematuhi segala nasihat dan arahan kuarantin yang diberikan agar tidak berlaku penularan di sekolah mahupun di rumah," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Lapan kes Kluster Kempas dikesan di Johor


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!