X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan kes Kluster Kempas dikesan di Johor

Vidyanathan
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor mengesan lapan kes koronavirus (Covid-19) yang dicetuskan Kluster Kempas sehingga hari ini.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyanathan berkata, susulan itu sebanyak 198 kontak melibatkan kluster baharu tersebut telah dikenal pasti di Johor dan beberapa negeri lain.

"Antaranya di Johor Bahru, Kulai dan Pontian selain di Selangor dan Melaka. Daripada jumlah ini, 28 adalah negatif manakala 170 masih lagi menunggu keputusan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kes indeks bagi kluster itu dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala di sebuah fasiliti kesihatan pada 22 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Enche Besar Hajah Kalsom di Kluang.

Susulan itu, pengesanan kontak dan ujian Covid-19 dijalankan dan mendapati tujuh lagi kes dikesan iaitu dua kes merupakan kontak ahli keluarga dan lima kes lagi merupakan kontak rakan sekerja.

Sejak beberapa hari lalu tular sebuah premis kesihatan di Kempas dan dua sekolah di negeri ditutup selepas dikesan kes positif Covid-19.

Vidyanathan berkata, tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan termasuk disinfeksi fasiliti kesihatan terbabit selain dinasihatkan untuk ditutup sementara siasatan diteruskan.

"Klinik Kesihatan yang dilawati kes indeks turut dijalankan disinfeksi dan dibuka seperti biasa. Punca jangkitan masih lagi dalam siasatan dan kluster dijangka tamat pada 20 November 2020," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengawasi perkembangan wabak itu di sekolah-sekolah dan sekiranya terdapat kes-kes positif, tindakan siasatan dan kawalan akan diambil segera pihak jabatan kesihatan.

Beliau berkata, tindakan saringan kontak serta ujian Covid-19 akan dijalankan terhadap individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat serta arahan kuarantin dan pengasingan di rumah selama 14 hari.

Justeru katanya, masyarakat tidak perlu khuatir keselamatan pelajar kerana sejarah kes Covid-19 di Johor dalam kalangan warga sekolah adalah rendah atas usaha dan tindakan awal yang diambil pihak sekolah dan jabatan terbabit.

"Pihak pengurusan sekolah diingatkan untuk memastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan normal baharu yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar mengekalkan status risiko penularan Covid-19 yang rendah di persekitaran sekolah," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, sehingga hari ini kumulatif kes Covid-19 di Johor berjumlah 852 kes, daripada jumlah itu 32 kes aktif, 799 kes sembuh dan 21 kematian dilaporkan setakat ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!