X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD Penjara Pokok Sena dilanjutkan hingga 7 November

Anggota pasukan keselamatan membuat kawalan pada laluan masuk dan keluar di Penjara Pokok Sena. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Pokok Sena, Kedah dilanjutkan selama 14 hari lagi hingga 7 November ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, keputusan itu atas cadangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan rantaian koronavirus (Covid-19) diputuskan sepenuhnya di dalam Penjara Pokok Sena terutama dalam kalangan kakitangan.

"Saringan oleh KKM hingga semalam mendapati masih terdapat kes positif dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara tersebut,” katanya dalam kenyataan berkenaan perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD di Penjara Pokok Sena bermula 11 hingga 24 Oktober ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Penjara Tawau dan Kuarters Penjara Taman Ehsan Tawau, Sabah pada 25 Oktober ini seperti yang dijadualkan.

"Setakat 21 Oktober lalu, KKM telah membuat 1,250 saringan di Penjara Tawau, manakala 1,196 saringan kakitangan di kuarters Taman Ehsan. Hingga kini tiada lagi kes aktif direkodkan di Penjara Tawau manakala hanya dua kes di Kuarters Penjara Taman Ehsan dan sedang menerima rawatan," katanya.

Ismail Sabri berkata, lokaliti itu masih tertakluk di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi seluruh Sabah.

Berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beliau berkata, 639 individu ditahan atas kesalahan ingkar PKP, iaitu 634 individu dikompaun, manakala empat direman dan seorang dijamin semalam.

Ismail Sabri berkata, menerusi Operasi Benteng semalam, 38 pendatang tanpa izin ditangkap dan dua buah bot serta tiga kenderaan darat dirampas.

Menurutnya, seramai 52,841 individu telah pulang ke negara ini melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai hingga semalam dan mereka ditempatkan di 66 hotel serta 17 premis lain termasuk institut latihan awam (ILA) serta institusi pengajian swasta.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,196 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 44,264 individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Berhubung operasi sanitasi awam, sebanyak 29 operasi dijalankan semalam meliputi enam zon merah, 12 zon kuning dan lapan zon hijau, melibatkan 11 negeri iaitu Kedah (5), Melaka (5), Sabah (4), Sarawak (3), Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu (masing-masing dua) dan satu masing-masing di Pahang, Perlis, Perak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!