'Nak guna duit KLFA, memang tak boleh'

Nokman Mustafa
Nokman Mustafa
A
A
A

MANA-MANA pasukan yang berminat menjadi pasukan feeder Kuala Lumpur perlu memiliki wang yang mencukupi tanpa mengharapkan dana daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustafa berkata, sumber kewangan yang kukuh amat penting bagi memastikan pengurusan serta kos operasi pasukan berkenaan berjalan lancar.

“Kalau nak jadi feeder team Kuala Lumpur, kenalah bayar duit... takkan kosong sahaja. Lagi pun, dah banyak yang pasukan itu jimat sebab dah tak ada pasukan Piala Presiden mahupun Piala Belia.

“Tapi kalau jadi feeder team Kuala Lumpur dan nak guna duit KLFA, memang tak bolehlah. Sepatutnya pasukan itu sendiri sudah mempunyai dana yang cukup,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Terdahulu, KLFA dikatakan sedang memantau perkembangan dua pasukan - Felda United dan UKM FC yang dilapor masih tidak menentu bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sehingga hari ini, Felda United masih belum memberi kata putus sama ada mahu terus beraksi atau menarik diri daripada saingan Liga-M sekalipun telah mendapat lesen kebangsaan.

UKM FC pula hanya diberikan lesen bersyarat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan difahamkan, mereka masih bergelut mencari penaja bagi mengukuhkan sumber kewangan.

Nokman berkata, jika Felda United dan UKM FC bersetuju menjadi pasukan feeder Kuala Lumpur, kedua-dua pasukan itu akan menikmati lebih banyak penjimatan dari segi perbelanjaan kos operasi.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai feeder team, mereka tidak lagi perlu memikirkan mengenai pasukan belia, sebaliknya mereka hanya perlu memikirkan mengenai pembangunan pemain-pemain muda.

“Jika mereka enggan, kami bercadang untuk ketengahkan feeder team sendiri daripada saingan Liga M3. Memang benar walaupun pasukan itu bukan daripada Liga Super atau Liga Premier tetapi mereka ada pemain import.

“Saya sebenarnya nak ketengahkan pemain-pemain muda bawah usia 22 tahun, yang ‘baik-baik’ kita serap ke atas (beraksi bersama Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super).

“Bagi tahun ini sahaja, kami ada 12 pemain muda yang baik tapi saya hanya naikkan tiga pemain, lagi sembilan pemain saya kekalkan dengan feeder team kita,” ujarnya.