Lebih RM500,000 naik taraf padang bola sepak

Majlis Perasmian Padang Bola Sepak di Jalan Rumbia Dua 18/19b, Seksyen 18 disempurnakan Rodziah, Ahad lalu.
Majlis Perasmian Padang Bola Sepak di Jalan Rumbia Dua 18/19b, Seksyen 18 disempurnakan Rodziah, Ahad lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM526,536 diperuntuk untuk menaik taraf padang bola sepak di Jalan Rumbia Dua 18/19b, Seksyen 18 di sini.

Projek ini merupakan inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi meningkatkan kualiti kemudahan aktiviti sukan dan rekreasi untuk komuniti setempat.

MBSA dalam satu kenyataan memaklumkan inisiatif itu bukan sahaja melibatkan pembaikan padang bola sepak tetapi juga pembinaan kemudahan lain.

"Kerja pembaikan lain termasuk membaiki semula tiang penghadang bola dan membuat garisan cat padang bola dengan kos keseluruhan sebanyak RM 526, 536.

"Projek ini menerima sebahagian peruntukan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) sebanyak RM200,000 dan selebihnya daripada MBSA," kata kenyataan.

Terdahulu, Majlis Perasmian Padang Bola Sepak di Jalan Rumbia Dua 18/19b, Seksyen 18 disempurnakan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail pada Ahad lalu.

Hadir sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dan Timbalan Setiausaha Operasi merangkap Pengarah Landskap, Mohd Yunus Suri.

MBSA berharap projek menaik taraf padang bola itu dapat membantu meningkatkan penyertaan komuniti dalam aktiviti sukan dan rekreasi sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat di dalam kehidupan seharian.

Di samping itu, kata MBSA, penyediaan padang bola sepak itu juga menjadi platform untuk melahirkan pemain bola sepak yang berbakat untuk diketengahkan di peringkat negeri dan antarabangsa.

"Sehingga kini terdapat 96 unit padang bola, empat unit padang rumput sintetik dan satu padang bola di Stadium Paya Jaras di bawah penyelenggaraan pihak

MBSA melalui Jabatan Landskap.

"Padang tersebut terbuka penggunaannya kepada orang ramai dan boleh disewa bagi tujuan perlawanan bola sepak," tambah kenyataan.