X

Kindly register in order to view this article
!

Pemimpin politik wanita dikasari, lapan saksi diambil keterangan

Anuar Othman
A
A

TELUK INTAN - Seramai lapan saksi telah diambil keterangan berhubung kejadian dua wanita dikasari dan ditumbuk ketika menghadiri mesyuarat sebuah parti politik di Teluk Intan, Rabu minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, siasatan dijalankan setelah menerima laporan daripada wanita berusia 32 tahun pada hari yang sama.

"Lapan saksi telah dipanggil termasuk suspek lelaki berusia 42 tahun untuk ambil keterangan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

"Mangsa berusia 31 tahun yang hampir pengsan dipercayai ditumbuk dalam kejadian itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan," katanya.

Menurutnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, laporan media menyatakan dua beradik tersebut mendapat jemputan bagi menghadiri satu mesyuarat parti tetapi telah dihalang masuk ketika tiba di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, berlaku sedikit kekecohan setelah seorang lelaki yang ditugaskan sebagai penyelia majlis telah menolak kakak hingga jatuh selain menumbuk bahagian muka adiknya sehingga pengsan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Dr Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan media menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan.

"Laporan media berkaitan beberapa laporan polis mengenai kes jenayah yang melibatkan ahli-ahli Amanah, Amanah menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan dan yakin siasatan yang adil akan dilakukan.

"Ahli-ahli Amanah dinasihatkan menghormati dan bertindak mengikut lunas undang-undang negara dan Perlembagaan parti dalam semua urusan kepartian," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!