Kesepakatan lapan parti politik Thailand

Pita (tengah kiri) bersama pemimpin Parti Pheu Thai, Cholanan Srikaew memegang MoU yang ditandatangani lapan parti politik untuk menubuhkan kerajaan gabungan di Bangkok pada Isnin. - Foto AFP
Pita (tengah kiri) bersama pemimpin Parti Pheu Thai, Cholanan Srikaew memegang MoU yang ditandatangani lapan parti politik untuk menubuhkan kerajaan gabungan di Bangkok pada Isnin. - Foto AFP
A
A
A

PARTI Move Forward (MFP) bersama tujuh sekutu politiknya menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Isnin di bawah langkah simbolik bagi mengesahkan persetujuan bersama untuk memacu 23 agenda sebaik sahaja kerajaan gabungan mereka dibentuk.

"Ia adalah kompilasi agenda yang dipersetujui bersama dan sedia dibawa melalui mekanisme kerajaan dan Parlimen.

"MoU ini juga menunjukkan tanggungjawab dikongsi kesemua parti yang akan menubuhkan kerajaan bersama," kata pemimpin MFP yang juga calon Perdana Menteri, Pita Limjaroenrat selepas partinya menyapu bersih pada Pilihan Raya Umum pada minggu lalu.

Antara misi utama mereka adalah menggubal Perlembagaan baharu, membenarkan perkahwinan sejenis, meletakkan ganja dalam senarai narkotik dilarang dan menggantikan kerahan tentera yang diwajibkan dengan pengambilan anggota sukarela.

Pita juga memberi jaminan pembaharuan yang bakal dilakukan mereka tidak akan mengancam sistem monarki di bawah Undang-undang Lese Majeste walaupun berjanji untuk membuat perubahan undang-undang.

Difahamkan, gabungan itu terdiri daripada Pheu Thai, Prachachat, Parti Thai Liberal, Thai Sang Thai, Fair, Plung Sungkom Mai dan Pue Thai Rumphlang yang mewakili 313 daripada 500 kerusi Parlimen. - Agensi