Khemah di luar hospital untuk saringan Covid-19

Laporan Sinar Harian 10 Oktober lalu. (Dr Christina Rundi)
Laporan Sinar Harian 10 Oktober lalu. (Dr Christina Rundi)
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Sabah memaklumkan khemah di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Queen Elizabeth (HQE) bertujuan untuk saringan wabak koronavirus (Covid-19).

Khemah berkenaan dikaitkan dengan masalah ketiadaan katil di hospital itu seperti yang tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Christina Rundi melalui kenyataan media di Facebooknya memaklumkan, hampir kesemua hospital dan klinik kesihatan di Sabah membuka khemah saringan sama ada di Jabatan Kecemasan atau Jabatan Pesakit Luar bagi mengasingkan pesakit yang menghidap penyakit berjangkit.

"Khemah Pesakit Bawah Siasatan (PUI) adalah saringan bagi pesakit ada sejarah kontak dengan pesakit Covid-19 dan dengan adanya khemah ini, pesakit akan diasingkan dan diberi rawatan awal sebelum dimasukkan ke Wad Isolasi Khusus atau unit rawatan rapi (ICU).

"Khemah Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di HQE turut dilengkapi dengan peralatan perubatan yang diperlukan untuk merawat pesakit yang kritikal sebelum dipindahkan ke wad yang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebook PKN Sabah awal pagio tadi.

Menurutnya, dalam usaha menangani Covid-19 yang semakin meningkat, JKNS akan mengambil tindakan sesuai bagi memastikan pesakit Covid-19 mendapat rawatan yang optimum.

"JKNS harap pihak tertentu tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan pandangan negatif terhadap perkhidmatan hospital dan klinik di Sabah yang sedang berusaha menanggani pandemik Covid-19," katanya.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan sebuah portal mendakwa wad ICU Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) lumpuh selepas sebahagian petugas barisan hadapan dikuarantin selepas sekurang-kurangnya seorang kakitangan didapati positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Wad ICU Hospital Queen Elizabeth didakwa lumpuh

Turut tular gambar khemah yang dipasang di hadapan Jabatan Kecemasan HQE I dan terdapat pesakit didalamnya.

Bagaimanapun, dalam kenyataan media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada hari sama menjelaskan Perkhidmatan di ICU hospital itu berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit.

ARTIKEL BERKAITAN:ICU Hospital Queen Elizabeth II beroperasi seperti biasa