ICU Hospital Queen Elizabeth II beroperasi seperti biasa

Perkhidmatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit.
Perkhidmatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit.
A
A
A

KOTA KINABALU - Perkhidmatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan menjelaskan perkara itu sekali gus menyangkal dakwaan sebuah portal berita hari ini bahawa ICU di hospital itu lumpuh ekoran sebahagian petugas barisan hadapan dikuarantin.

"Perkhidmatan di ICU HQE II masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan daripada lapan kepada enam pesakit dan semua pesakit di dalam ICU disahkan bebas Covid-19.

"Bagaimanapun, pada masa ini seramai 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah," katanya.

Menurutnya, terdapat seorang jururawat dikesan positif Covid-19 selepas menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober lalu.

"Justeru, saringan di tempat kerja menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen dan juga Ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dijalankan terhadap 92 petugas perubatan (pegawai perubatan dan jururawat) di QEH II pada 9 Oktober lalu.

"Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang juga kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19, manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan PCR," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Wad ICU Hospital Queen Elizabeth didakwa lumpuh

Artikel Berkaitan:

Katanya, punca jangkitan masih dalam siasatan dan majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di Sabah setakat ini berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

"Semua petugas kesihatan dan perubatan adalah dinasihatkan untuk memakai kelengkapan pelindung diri (PPE) yang bersesuaian ketika menjalankan tugas dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) sama ada di tempat kerja atau ketika di dalam komuniti.

"Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan. Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, peperangan dengan Covid-19 ternyata membawa risiko jangkitan dan memberi kesan kepada petugas kesihatan sekiranya tidak patuh kepada amalan kawalan penyakit.

Terdahulu, dalam kenyataan beliau turut memaklumkan, secara keseluruhannya sejak permulaan wabak Covid-19 sehingga semalam seramai 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia daripada pelbagai kategori skim perkhidmatan telah dijangkiti Covid-19.

"Untuk di Sabah, bagi tempoh yang sama seramai 198 kakitangan KKM dijangkiti Covid-19, malah dalam Oktober ini sahaja mencatat jumlah paling tinggi setakat ini iaitu 85 orang, berbanding pada September lalu seramai 66 orang," katanya.