Covid-19: Wad ICU Hospital Queen Elizabeth didakwa lumpuh

Khemas dipasang oleh pihak hospital di pekarangan Unit Kecemasan QEH 1, Sabah hari ini.
Khemas dipasang oleh pihak hospital di pekarangan Unit Kecemasan QEH 1, Sabah hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu portal berita hari ini mendakwa Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) lumpuh susulan lebih daripada separuh petugas barisan hadapan terpaksa dikuarantin.

Berikutan keadaan di QEH II yang dikatakan kekurangan petugas kesihatan, turut tular beberapa gambar situasi di hadapan unit kecemasan di Hospital Queen Elizabeth I (QEH1).

Gambar yang tular itu menunjukkan khemah dipasang di kawasan laluan kenderaan di Unit Kecemasan dan terdapat beberapa pesakit berada di dalam khemah tersebut.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan sama ada ia disebabkan kekurangan katil wad di hospital atau khemah itu hanya dipasang untuk kegunaan saringan pesakit baharu yang belum dipastikan positif pandemik koronavirus (Covid-19).

Terdahulu, laporan berita portal itu mendakwa, seramai 40 daripada 66 jururawat yang menjaga Wad ICU QEH 1 kini terpaksa dikuarantin selepas sekurang-kurangnya seorang kakitangan disahkan positif Covid-19.

Tular gambar khemah dipasang di laluan kenderaan di hadapan Unit Kecemasan QEH I bagi menempatkan pesakit di dalamnya.
Tular gambar khemah dipasang di laluan kenderaan di hadapan Unit Kecemasan QEH I bagi menempatkan pesakit di dalamnya.

Menurut laporan portal itu lagi, sumber mereka memberitahu bahawa kakitangan perubatan itu dijangkiti dari luar hospital sebelum kembali bekerja dan keadaan itu menyebabkan Wad ICU menjadi tegang ketika pesakit Covid-19 yang kritikal juga mulai meningkat.

Laporan itu turut mendapat pengesahan daripada Menteri Kesihatan, Datuk Sri Dr Adham Baba bahawa sekurang-kurangnya seorang jururawat di Wad ICU QEH1 telah dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, usaha wartawan Sinar Harian menghubungi Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Christina Rundi untuk mendapatkan kesahihan laporan berita itu gagal selepas beliau tidak menjawab sebarang panggilan dan pertanyaan melalui aplikasi WhatsApp.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang akhbar sebentar tadi memaklumkan, setakat ini seramai 475 anggota kesihatan pelbagai kategori dan skim perkhidmatan digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kota Kinabalu bagi memantau dan membantu mengawal situasi jangkitan Covid-19 di Sabah.