Lelaki didakwa jalankan perkhidmatan kiriman wang tanpa lesen

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli perniagaan didakwa hari ini atas dua pertuduhan iaitu menjalankan perkhidmatan kiriman wang tanpa lesen dan mengguna perkataan 'Perniagaan Perkhidmatan Kiriman Wang Berlesen' di premisnya, dua tahun lepas.

Bagaimanapun tertuduh Mohamad Azim Haja Yusof, 28, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail di Mahkamah Sesyen di sini.

Untuk pertuduhan pertama, dia dituduh sebagai pemilik tunggal Mahy Berkat Global Resources telah menjalankan perniagaan perkhidmatan kiriman wang tanpa lesen.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (4) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan perkataan 'Perniagaan Perkhidmatan Kiriman Wang Berlesen' pada papan tanda perniagaan tanpa mendapatkan kelulusan bertulis daripada Bank Negara Malaysia (BNM).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) yang boleh didenda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Arena Alam Damai di sini antara 27 April dan 26 Mei 2016. Mahkamah menetapkan 16 Feb ini untuk serahan dokumen serta sebutan semula dan mengenakan ikat jamin RM50,000 untuk pertuduhan pertama dan RM30,000 untuk pertuduhan kedua

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa BNM Edward Chan, Kesinee Aiyalu dan Tan Pheng Chew manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: