X

Kindly register in order to view this article
!

118 pasangan pengantin 'serbu' Pejabat Agama Klang

Susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Mukim Klang, Pejabat Agama Islam Daerah Klang di sini 'diserbu' 118 pasangan untuk melangsungkan pernikahan seawal jam 9 pagi semalam.
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melakukan persediaan awal bagi menghadapi kemungkinan situasi bakal pengantin 'menyerbu' Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Klang, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mulai hari ini.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, persiapan itu termasuk dari sudut pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PKPB agar ia seiring dengan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, majlis akad nikah di Selangor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada asalnya hanya dibenarkan dilaksana di masjid di negeri ini.

"Ekoran tarikh akad nikah mereka (pengantin) jatuh pada tempoh PKPB dan aktiviti di masjid pula ditangguhkan, JAIS ambil tanggungjawab untuk bantu mana-mana pasangan yang akan melangsungkan pernikahan dalam tempoh PKPB ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial gambar bakal pengantin yang 'terpaksa' beratur panjang di hadapan PAID Klang untuk menunggu giliran dinikahkan berikutan pelaksanaan PKPB bermula hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, semalam seramai 118 pengantin diijabkabulkan di PAID Klang oleh lima Pendaftar Perkahwinan Nikah Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor.

Beliau turut menasihati kakitangannya agar bersedia dengan keadaan luar jangka itu dan semua proses pernikahan dapat diselesaikan sebelum lewat malam semalam.

Mohd Shahzihan menjelaskan, keadaan tersebut hanya sementara waktu kerana hari ini proses pernikahan di pejabat agama daerah itu sudah kembali seperti biasa.

"Buat masa ini keadaan sekarang (PKPB) JAIS akan bantu pasangan untuk meneruskan majlis nikah mereka dengan membuka pejabat pada Sabtu dan Ahad serta pada hari bekerja," katanya.

Beliau berkata, hanya pengantin perempuan, wali dan pasangan pengantin lelaki yang dibenarkan hadir ke pejabat untuk tujuan akad nikah. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!