Peguam kerajaan dikuarantin, bicara kes saman NFC ditangguh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman kerajaan Malaysia terhadap National Feedlot Corporation (NFC) yang ditetapkan semalam hingga Khamis di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan berikutan Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad menjalani kuarantin akibat Covid-19.

Saman itu menuntut NFC selaku defendan supaya membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Peguam, Datuk K Kirubakaran yang mewakili defendan berkata, pihak plaintif memohon penangguhan itu berikutan Azizan yang mengetuai pihak plaintif perlu menjalani kuarantin selama 14 hari kerana beliau yang mempunyai kes di Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah baharu sahaja pulang dari negeri itu.

"Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai membenarkan permohonan penangguhan pihak plaintif (Kerajaan Malaysia) dan menetapkan 4 hingga 6 November dan 22 hingga 26 Februari 2021 untuk menyambung perbicaraan," katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding di hadapan Anand di dalam kamarnya hari ini.

Kirubakaran berkata, pihak defendan akan mengemukakan lima orang saksi dalam perbicaraan itu.

Turut hadir pada prosiding hari ini, Peguam Persekutuan Mohd Ashraf Abd Hamid yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia.

Perbicaraan kes saman itu bermula 13 Januari lepas dengan lima saksi plaintif telah selesai memberi keterangan, hanya tinggal saksi terakhir iaitu juruaudit sebuah syarikat swasta masih belum memberi keterangan.

Syarikat NFC diuruskan oleh suami dan tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Artikel Berkaitan:

Dalam tuntutannya, kerajaan selaku plaintif tunggal, menamakan NFC sebagai defendan pertama, manakala suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah, masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh, iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Kerajaan menandatangani perjanjian dengan NFC pada 6 Disember 2007, bagi pinjaman berjumlah RM250 juta, sebahagian daripadanya digunakan untuk membiayai penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional, selaras dengan dasar kerajaan untuk membangunkan dan meningkatkan pengeluaran daging lembu dan produk daging lembu.

Pinjaman disalurkan oleh kerajaan kepada NFC dalam tiga peringkat dan keluarga Mohamad Salleh membuat 10 pengeluaran berjumlah RM180.51 juta dari 24 Januari 2008 hingga 3 Januari 2011.

Daripada sebanyak RM180.51 juta yang dikeluarkan, hanya RM8.32 juta dibayar secara terus kepada pihak ketiga untuk menjalankan projek Pusat Fidlot Nasional manakala baki daripada dana yang dikeluarkan telah dipindahkan ke akaun NFC yang lain dan sejumlah RM118.04 juta daripada baki itu didakwa telah disalahgunakan.

Termasuk dalam dana yang didakwa disalahgunakan itu adalah RM9.76 juta yang didakwa digunakan untuk membeli dua unit kediaman di One Menerung Residence, ia didakwa dilakukan oleh defendan keenam, National Meat & Livestock Corp.

Pada masa yang sama, sebanyak RM300,000 didakwa digunakan untuk membuat bayaran kepada seorang individu bernama Shamsubarin Ismail bagi tujuan yang tidak didedahkan dan sebanyak RM1.8 juta lagi dibayar kepada individu sama.

Keluarga Mohamad Salleh juga didakwa menggunakan dana yang dipinjam daripada kerajaan itu untuk membayar sewa bulanan RM28,000 bagi satu lot pejabat di Solaris Mont Kiara.

Wang pinjaman itu turut didakwa digunakan untuk membeli dua bidang tanah di Putrajaya, bayaran kepada dua firma guaman dan membeli sebuah rumah kedai empat tingkat di Solaris Mont Kiara. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bicara kes saman kerajaan Malaysia terhadap NFC bersambung 12 Jun