Bicara kes saman kerajaan Malaysia terhadap NFC bersambung 12 Jun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia dijangka memanggil saksi terakhir dalam perbicaraan kes samannya terhadap National Feedlot Corporation (NFC) menuntut syarikat itu membayar balik pinjaman dan faedah berjumlah RM253.6 juta berhubung penubuhan dan operasi Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan.

Syarikat itu diuruskan oleh suami dan tiga anak bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada hari pertama perbicaraan kes itu 13 Januari lepas, Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Anand Ponnudurai, kerajaan yang bertindak selaku plaintif akan memanggil enam saksi memberi keterangan.

Pada 12 Mac, saksi kelima selesai memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini dan perbicaraan ditetapkan pada 12 Jun dengan saksi terakhir, juruaudit sebuah syarikat swasta dijangka memberi keterangan.

Dalam tuntutannya, kerajaan selaku plaintif tunggal menamakan NFC sebagai defendan pertama manakala suami Shahrizat, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail dan tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah masing-masing merupakan defendan kedua hingga kelima.

Defendan lain adalah enam syarikat yang dikawal oleh keluarga Mohamad Salleh iaitu National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Real Food Corporation Sdn Bhd, Meatworks Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Asian Bioscience Corporation Sdn Bhd dan Techknowlogy Imageware (M) Sdn Bhd.

Azizan dalam kenyataan pembukaan pada hari pertama perbicaraan memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa kerajaan memfailkan saman itu terhadap defendan kerana defendan telah memungkiri Perjanjian Kemudahan Pembiayaan bertarikh 6 Disember 2007 yang disalurkan kepada NFC berjumlah RM250 juta bagi membiayai kos penubuhan dan pengendalian National Feedlot Centre di Gemas, Negeri Sembilan.

Beliau berkata kerajaan telah menyalurkan pembiayaan tersebut secara tiga bayaran berasingan dari Januari 2008 sehingga Mac 2009 sebanyak RM250 juta.

Artikel Berkaitan:

Azizan memberitahu mahkamah bahawa NFC dikehendaki membayar balik pembiayaan bersama faedah ke atas jumlah pembiayaan tersebut secara ansuran selama 17 tahun sebanyak RM17,492,460.20 setahun bermula 9 Januari 2012 sehingga 9 Januari 2028 sepertimana jadual bayaran balik yang telah diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia.

Tambah beliau lagi, defendan pertama (NFC) gagal membuat bayaran balik ansuran tahunan tersebut bagi tahun 2012 dan 2013 sebelum tarikh tamat pembayaran perlu dibuat iaitu pada 9 Januari 2012 dan 9 Disember 2013.

“Aset-aset defendan pertama telah dibeku dan dirampas oleh Polis Diraja Malaysia berikutan beberapa dakwaan jenayah. Walaubagaimanapun, defendan pertama bersetuju untuk menggunakan sebahagian wang yang disimpan di dalam akaun eskrow oleh Ketua Audit Negara berjumlah RM35,547,554.60 untuk menjelaskan ansuran tertunggak bagi tahun 2012 dan 2013.

Defendan pertama sekali lagi gagal membuat bayaran ansuran tahunan bagi tahun 2014 sebelum tarikh akhir bayaran iaitu pada 9 Januari 2014.

Kerajaan Malaysia mengeluarkan surat bertarikh 26 Mac 2014 dan 28 April 2014 bagi menuntut bayaran tunggakan bersama faedah untuk tahun 2014. Namun begitu, defendan pertama tetap gagal, enggan dan/atau abai untuk menjelaskan jumlah tunggakan tersebut,” katanya.

Azizan berkata, pada 21 Mac 2014 Kerajaan Malaysia mengeluarkan surat dan memberitahu defendan pertama untuk meremedikan pelanggaran perjanjian pembiayaan tersebut dalam tempoh 90 hari, kegagalan berbuat demikian akan membolehkan kerajaan melaksanakan haknya untuk membatalkan pinjaman dan menuntut pembayaran penuh pembiayaan yang telah disalurkan melalui Perjanjian Kemudahan Pembiayaan tersebut.

Beliau berkata melalui surat bertarikh 4 September 2014 kepada NFC, kerajaan mengisytiharkan pelanggaran terhadap perjanjian pembiayaan tersebut selepas mendapati defendan menggunakan pinjaman itu bertentangan dengan objektif asal pembiayaan termasuk pembelian tiga bidang tanah di Gemas, Negeri Sembilan dan menuntut pembayaran penuh yang terhutang di bawah perjanjian pembiayaan tersebut.

“Jumlah pembiayaan sebanyak RM118,040,076.79 telah diseleweng dan disalah guna oleh defendan bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek tersebut,” katanya.

Selain pecah amanah, NFC juga telah menyalahgunakan dan memindahkan wang tersebut kepada defendan kedua hingga defendan ketujuh mengakibatkan Kerajaan Malaysia mengalami kerugian dan kerosakan sebanyak RM118,040,076.79.

Oleh itu, kerajaan menuntut defendan membayar semula sebanyak RM253,618,455.03 bersama faedah pada kadar dua peratus setahun dari 1 Mei 2019 sehingga tarikh penyelesaian penuh, satu deklarasi bahawa defendan kedua, ketiga, keempat dan kelima secara peribadi bertanggungjawab untuk jumlah RM253,618,455.03.

Plaintif juga menuntut jumlah yang akan dibayar oleh mereka dan satu deklarasi bahawa plaintif dibenarkan untuk menjejak dan mengesan jumlah wang yang telah disalahgunakan dan menuntut pemilikan bagi hartanah yang dimiliki defendan melalui penyalahgunaan wang tersebut. - Bernama