287 kes positif Covid-19 hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media mengenai jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media mengenai jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Selepas mencatatkan 260 kes positif baharu Covid-19 semalam, hari ini angka tersebut terus meningkat kepada 287 iaitu tertinggi sejak pandemik itu melanda negara ini, Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua jumlah tersebut merupakan penularan dalam negara.

"Daripada 287 kes hari ini, sebanyak 20 kes merupakan individu yang pulang dari Sabah," katanya.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah kes yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September adalah sebanyak 139 kes.

Jumlah keseluruhan kes positif 11,771.

"Kes aktif yang diasingkan dan sedang menerima rawatan adalah 1,540," katanya.

Beliau berkata, terdapat 22 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi.

"Empat kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian kekal pada 136 kes selepas tiada kes baharu dilaporkan.

Sementara itu, sebanyak 81 kes telah pulih dan dibenar discaj hari ini.

"Jumlah keseluruhan kes pulih adalah 10,095 iaitu bersamaan dengan 85.8 peratus jumlah keseluruhan kes," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes baharu yang dilaporkan, beliau berkata, Kedah merekodkan 129 kes yang mana 128 adalah daripada Kluster Tembok.

"Satu lagi merupakan kes saringan kontak rapat kepada kes positif," katanya.

Menurutnya, sebanyak 113 kes dilaporkan di Sabah yang melibatkan 52 kes bergejala.

"35 kes daripada Kluster Benteng LD, 15 Kluster Bangau-Bangau dan empat saringan rujukan serta kemasukan ke hospital," katanya.

Sementara itu, Kluster Laut, Pulau, kes Severe Acute Respiratory Illness (SARI), saringan petugas kesihatan, saringan warga emas di klinik, saringan sebelum pulang ke Semenanjung serta saringan komuniti di Lahad Datu merekodkan masing-masing satu kes.

"Di Selangor pula, sebanyak 31 kes dikesan yang terdiri daripada 13 kes pulang dari Sabah," katanya.

Tambahnya, lapan kes dikesan daripada Kluster Seri Anggerik, tiga kes Kluster Jalan Meru dan dua kes saringan kontak rapat kepada kes positif.

"Bagi Kluster Seri Setia, SARI, saringan ke luar negara dan sebelum dihantar pulang juga masing-masing satu kes," katanya.

Menurutnya, di Perak tiga kes membabitkan dua daripada pulang dari Sabah dan satu Kluster Tembok.

"KKM juga mengesan tiga kes di Terengganu yang dua adalah saringan kontak rapat dan satu lagi pulang dari Sabah," katanya.

Kelantan pula terdapat dua kes iaitu individu yang pulang dari Sabah dan satu Kluster Jalan Meru turut dikesan.

Negeri Sembilan dan Labuan merekodkan dua kes melibatkan individu pulang dari Sabah.

Terdapat satu kes saringan sebelum pulang ke negara asal di Kuala Lumpur manakala Johor turut merekodkan Kluster Jalan Meru.

Di Pahang pula, satu kes dikesan membabitkan kontak rapat kepada kes positif.