Lori keluar masuk ganggu pengunjung Air Terjun Sungai Pandan

Keadaan lori yang lalu lalang berhampiran pintu masuk Air Terjun Sungai Pandan di Panching, Kuantan. Gambar kecil dari kiri: Sheik Ahmad Fakhruddin, Siti Roziah Abd Rahman, Mohd Fazly Buyong
Keadaan lori yang lalu lalang berhampiran pintu masuk Air Terjun Sungai Pandan di Panching, Kuantan. Gambar kecil dari kiri: Sheik Ahmad Fakhruddin, Siti Roziah Abd Rahman, Mohd Fazly Buyong
A
A
A

KUANTAN - Pengunjung kawasan peranginan Air Terjun Sungai Pandan di Panching di sini memohon pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan memantau aktiviti lori tanah yang mengakibatkan ketidakselesaan.

Pengunjung, Siti Roziah Abd Rahman, 50, berkata, sejak kebelakangan ini berlaku aktiviti membawa keluar tanah dari lokasi air terjun tersebut sehingga menyebabkan habuk dan debu merah di sepanjang jalan menghala ke pintu masuk air terjun.

"Saya suka berkunjung ke sini bersama keluarga tapi bila tengok lori keluar masuk memang tak selesa. Kalau hujan jalan akan jadi becak dan lebih mengotorkan kenderaan.

"Lori yang masuk ke sini dipandu laju. Laluan jalan ke air terjun sememangnya sempit dan ini sangat menakutkan pengunjung dan membahayakan keselamatan lebih-lebih lagi pemandu perempuan.

"Bagi saya pengusaha lori tanah sepatutnya membuat laluan lain untuk lori-lori ini keluar masuk. Tolong fikirkan keselamatan pengunjung. Bagi saya, lokasi air terjun ini sangat bagus tapi adanya lori-lori hantu ini buat kita fikir banyak kali nak datang," katanya ketika ditemui di Air Terjun Sungai Pandan semalam.

Keadaan lori yang lalu lalang berhampiran pintu masuk Air Terjun Sungai Pandan di Panching, Kuantan.
Keadaan lori yang lalu lalang berhampiran pintu masuk Air Terjun Sungai Pandan di Panching, Kuantan.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Mohd Fazly Buyong, 50, juga berpendapat sama kerana lori-lori tersebut ada yang dipandu laju sehingga boleh mendatangkan bahaya, malah lori yang keluar masuk melebihi jumlah kenderaan pengunjung.

Dia yang kerap membawa keluarga beriadah di situ berharap pihak berwajib membuat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) kerana situasi yang dihadapi pengunjung sekarang ini amat membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pengunjung, Sheik Ahmad Fakhruddin, 43, berkata, pihak berwajib perlu bertindak segera sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan atau benar ada berlaku perlanggaran SOP.

"Janganlah kerana hal ini, tiada pengunjung yang datang ke Air Terjun Sungai Pandan. Orang ramai takut untuk lalui jalan ini sebab jalan sempit dan banyak lori," katanya.