Air Terjun Ledang dibuka semula bulan depan

Air Terjun Gunung Ledang yang telah ditutup sejak setahun lalu bagi kerja-kerja naik taraf, akan dibuka semula kepada umum bulan depan.
Air Terjun Gunung Ledang yang telah ditutup sejak setahun lalu bagi kerja-kerja naik taraf, akan dibuka semula kepada umum bulan depan.
A
A
A

TANGKAK - Air Terjun Gunung Ledang yang telah ditutup sejak setahun lalu bagi kerja-kerja naik taraf, akan dibuka semula kepada umum bulan depan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia berita baik buat penggemar khazanah alam sekitar apatah lagi dengan penganjuran Karnival Gunung Ledang.

Beliau berkata, kerajaan negeri optimis untuk memastikan Gunung Ledang di daerah itu akan sentiasa dikunjungi selain turut mempergiat promosinya.

"Saya gembira dimaklumkan bahawa pengurusan Air Terjun Gunung Ledang turut akan menyediakan tapak pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan juga tapak caravan bagi menambah daya tarikan pelancong ke kawasan ini.

"Saya turut melawat dan melihat sendiri fasiliti di Taman Negara Johor Gunung Ledang (Lagenda). Saya meneliti perlunya perancangan yang rapi untuk menaik taraf chalet dan pondok, demi menarik lebih ramai pengunjung ke taman negara ini,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk memperhalusi segala keperluan dan bajet bagi menaik taraf serta mempromosikan Gunung Ledang dengan lebih berkesan. - Bernama