X

Kindly register in order to view this article
!

Bukan kurang petugas tapi penumpang ramai

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

PUTRAJAYA - Waktu menunggu yang panjang bagi penumpang dari Sabah menjalani saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukan disebabkan kekurangan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) tetapi jumlah penumpang yang ramai.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setiap penumpang akan menjalani saringan antara 10 hingga 15 minit sahaja tetapi gilirannya mungkin mengambil masa kerana penumpang yang ramai.

"Bagi satu kapal terbang masa yang dijangka diambil ialah sekurang-kurangnya dua jam, mungkin lebih. Kalau lebih daripada satu kapal terbang iaitu tiga atau empat kapal terbang yang tiba ia mungkin mengambil masa panjang.

"Masalah yang berlaku ialah kerana ramai penumpang. Jadi kena tunggu dan bersabar," katanya mengulas mengenai aduan dan laporan terdapat penumpang yang terpaksa menunggu sehingga enam jam untuk menjalani ujian Covid-19.

Beliau ditemui media selepas merasmikan 7th Malaysia Breast Care Nurse Meeting 2020 di Institut Kanser Negara, di sini hari ini.

Menurutnya, KKM menambah 90 lagi petugas di terminal utama KLIA dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menjadikan jumlah petugas seramai 400 orang.

Dr Noor Hisham pada Sabtu mengumumkan peraturan mewajibkan individu yang baru tiba dari Sabah menjalani saringan Covid-19 di kawasan pintu masuk bermula 27 September hingga 10 Oktober ini.

Beliau yang turut melawat KLIA pada jam 3 hingga 5 pagi tadi berkata, keadaan masih terkawal dan terdapat petugas KKM yang bekerja syif berganda iaitu sehingga 16 jam.

ARTIKEL BERKAITAN: Individu pulang dari Sabah wajib jalani saringan mulai esok

Saringan Covid-19 di KLIA, KLIA2 sesak

Menurutnya, ujian swab dilaksanakan melalui dua kaedah iaitu swab hidung dan mulut, kemudian penumpang akan dipakaikan gelang, diberi keterangan mengenai Covid-19 dan tindakan yang perlu mereka ambil.

Dr Noor Hisham berkata, keputusan ujian saringan ke atas penumpang dari Sabah akan diketahui dalam masa 24 hingga 72 jam.

"Mereka yang positif akan dihantar ke hospital manakala yang negatif tapi ada terdedah kepada kes positif akan dikuarantin 14 hari," katanya.

Ditanya sama ada KKM ada memberi sebarang nasihat kepada Sabah memandangkan pilihan raya negeri itu sudah berakhir, Dr Noor Hisham berkata, tindakan seterusnya untuk Sabah akan diumumkan hari ini.

Mengenai kes Covid-19 yang dilaporkan di beberapa pusat beli-belah di Lembah Klang, Dr Noor Hisham berkata, ia kemungkinan disebabkan individu yang tidak menyedari diri mereka positif Covid-19.

"Apabila mendapat maklumat (berlaku kes Covid-19) di pusat beli-belah, kena nyahkuman kawasan itu sebagai langkah pencegahan," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!