X

Kindly register in order to view this article
!

Individu pulang dari Sabah wajib jalani saringan mulai esok

DR NOOR HISHAM
A
A

KUALA LUMPUR - Semua individu yang baru tiba dari Sabah wajib menjalani saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA) bermula esok sehingga 10 Oktober ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Beliau berkata saringan itu dibuat kerana terdapat keperluan untuk melaksanakan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) ke atas individu dengan sejarah perjalanan dari Sabah bagi memantau risiko penularan jangkitan dalam kalangan individu terbabit.

“Semua individu tersebut wajib memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera dan daftar masuk menggunakan aplikasi ini setibanya di PMA negara dan menjalani saringan gejala jangkitan saluran pernafasan dan ujian saringan pengesanan Covid-19 sejurus tiba di PMA.

Mereka juga wajib menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) dengan kesemua individu di PMA akan diberi surat HSO, dan dipakaikan gelang kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tarikh HSO akan bermula dari tarikh ketibaan di PMA sehingga keputusan makmal diperoleh dan pelepasan HSO akan diberikan sekiranya keputusan ujian makmal menunjukkan negatif Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata, sekiranya terdapat individu yang perlu meneruskan perjalanan ke rumah masing-masing dengan menaiki kenderaan awam seperti teksi dan perkhidmatan Grab, surat kebenaran untuk ke alamat yang ditetapkan akan diberikan pada hari berkenaan.

Beliau berkata, bagi individu yang mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dalam tempoh 14 hari dari tarikh pulang, mereka perlu menjalani saringan ulangan bagi Covid-19.

“Saringan ke atas individu (warganegara dan bukan warganegara) yang pulang dari Sabah ini adalah dikecualikan daripada caj ujian Covid-19,” katanya.

Katanya tempoh pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penularan jangkitan Covid-19 ke atas individu yang baru pulang dari Sabah akan disemak dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian risiko penularan jangkitan pada masa tersebut, dan sebarang perubahan berkaitannya akan dimaklumkan kepada umum.

Semalam, Dr Noor Hisham melaporkan terdapat 10 kes yang dikesan positif Covid-19 setelah kembali dari Sabah pada 20 hingga 25 September lepas, dan hari ini pula 11 lagi kes positif dikesan di Semenanjung Malaysia setelah kembali dari Sabah.

Peningkatan kes dan kluster Covid-19 di Sabah masih berterusan dan empat daerah telah dikenal pasti sebagai zon merah setelah merekodkan bilangan kes melebihi 40 dalam tempoh 14 hari kebelakangan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!