Bentuk kerjasama dengan jabatan agama negeri kekang ajaran sesat

Zulkifli pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Hotel Sama-Sama hari ini.
Zulkifli pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia di Hotel Sama-Sama hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membentuk kerjasama dengan jabatan agama negeri bagi mengekang kes penyebaran ajaran sesat di negara ini termasuk ajaran sesat 'Rasul Melayu'.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kerjasama itu akan dilaksanakan antaranya dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Kita akan laksanakan (kerjasama) ini. Saya ambil peringatan (ambil berat) isu ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Hotel Sama-Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai ajaran sesat 'Rasul Melayu' yang dikesan kembali aktif menyebarkan agamanya yang diharamkan pada 1991.

ARTIKEL BERKAITAN: JAIS tahan ‘Rasul Melayu’

'Rasul Melayu' atau nama sebenarnya, Abdul Kahar Ahmad yang pernah dipenjarakan sebelum dibebaskan empat tahun lalu ditahan JAIS bersama 16 pengikutnya tiga lokasi berbeza di Kemensah, Ulu Klang; Sungai Long dan Keramat semalam.

Zulkifli berkata, usahasama itu perlu dilakukan memandangkan ada antara kes ajaran sesat berlaku di kawasan sempadan antara negeri seperti kes 'Rasul Melayu' yang beroperasi di Gombak yang bersempadan dengan Kuala Lumpur.

Menurutnya, bagi mengekang penyebaran ajaran sesat juga, pihaknya akan menerbitkan buku atau makalah yang akan diedarkan agar ia dapat memberi kefahaman kepada masyarakat berhubung isu itu.

Sementara itu, menyentuh mengenai Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia itu, beliau berkata, program itu diharapkan dapat mewujudkan satu mekanisme untuk menzahirkan satu kesepakatan dan hubungan kerjasama yang padu dengan semua institusi fatwa di Malaysia bagi memperkukuhkan fungsi dan peranan fatwa dalam perundangan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program itu telah lama tidak diadakan iaitu kira-kira sejak lima tahun lalu dan dilaksanakan untuk memperkasakan bukan sekadar fatwa tetapi institusinya yang terdiri daripada barisan mufti negeri dan ahli jawatankuasanya seperti yang dikehendaki Sultan Nazrin.

"Sambutan yang diberikan semua pihak akan memudahkan kita dalam menyelaraskan fatwa dan memberi maklumat bagaimana mengeluarkan fatwa dengan lebih teratur.

"Program ini juga jadi satu mukadimah (permulaan) bagi kita memperbaiki susun atur segala kerangka jabatan atau pejabat mufti," katanya.

Katanya, program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang disertai seramai 120 peserta dan berlangsung selama tiga hari sejak semalam itu padat dengan pelbagai pengisian termasuk sesi cambah minda, forum memperkasakan institusi fatwa dan ziarah tempat mencetak al-Quran.