Ajaran sesat versi salam Yahudi dibimbangi menular di Malaysia

Penyebaran ajaran sesat yang berlaku di sebuah pondok pesantren di Jawa Barat, Indonesia didakwa 'menyanjungi Israel' kembali mencetus kebimbangan.
Penyebaran ajaran sesat yang berlaku di sebuah pondok pesantren di Jawa Barat, Indonesia didakwa 'menyanjungi Israel' kembali mencetus kebimbangan.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Penyebaran ajaran sesat yang berlaku di sebuah pondok pesantren di Jawa Barat, Indonesia didakwa 'menyanjungi Israel' kembali mencetus kebimbangan.

Lebih mengejutkan, terdapat ramai rakyat Malaysia yang hadir dalam majlis kontroversi itu selepas didedahkan seorang selebriti dari Indonesia, Lucky Hakim.

Menurut Lucky, dia turut terlibat dalam politik berkenaan, namun dirinya tidak menyangka majlis tersebut merupakan sebuah acara yang besar.

“Majlis yang berlangsung ketika itu bukan majlis biasa kerana banyak kenderaan. Saya lihat tetamu mungkin lebih 2,000 orang. Banyak tetamu dari luar, ada dari Korea dan paling ramai adalah dari Malaysia," katanya.

Sebelum itu, tular di media sosial, pengasas pusat pengajian itu melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini yang dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam.

Dalam video tersebut kelihatan mereka melaksanakan solat berjarak seperti semasa pandemik Covid-19 tetapi bercampur antara lelaki dan wanita dalam satu saf

Malah, pengasas berkenaan juga meminta para pengikut untuk menyanyikan lagu dan mengucapkan salam dalam bahasa Hebrew selain tular khutbah solat Jumaat yang dilakukan di pusat pengajian tersebut disampaikan oleh seorang wanita.

Turut mencetuskan kontroversi ialah cara laungan azan oleh pelajar di pondok tersebut yang menghadap jemaah dan didakwa mengelirukan orang ramai.

Susulan itu, pendakwah terkenal Indonesia, Ustaz Abdul Somad mengecam tindakan pimpinan pondok berkenaan kerana jelas lagu yang dinyanyikan di dalam masjid itu adalah lagu salam bagi orang Yahudi.

Ujarnya, berdasarkan video majlis tersebut, pengasas pusat pengajian itu meminta tetamu untuk sama-sama menyanyikan lagu berjudul Hanevu Shalom Alaichem yang diketahui lagu bangsa berkenaan.

Bagi Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta segera menyiasat sama ada ajaran pelik sebuah pondok pesantren di negara jiran sudah menular di negara ini.

Katanya, dengan kemajuan teknologi dan media sosial, ajaran yang dibawa oleh pondok Jawa Barat itu boleh menular dengan cepat.

Di Malaysia, beberapa ajaran sesat wujud bahkan terkenal dan mempunyai pengikutnya, antaranya, Kerajaan Langit; Taslim; Hadi Minallah dan Al-Arqam.

Bagaimanapun, dengan kecekapan pihak penguatkuasa ajaran-ajaran itu dapat dibanteras selain 'dicuci' fikiran serta tempat mereka.

Golongan sesat sentiasa wujud pada setiap zaman sama ada disebabkan oleh kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar dengan menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, dan keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.

Justeru, usaha semua pihak tidak kira kerajaan, jabatan agama dan pihak berkuasa perlu ditambah baik lagi bagi menangani supaya tidak memburukkan nama dan reputasi nama negara selain memelihara kesucian akidah serta akhlak.