PAT santuni bekas komando berjuang melawan kanser

SHAH ALAM - Kisah kegigihan seorang bekas komando yang berjuang melawan kanser mendapat perhatian Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman.
Malek Razak yang baru dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Ke-24 pada 1 Februari lalu meluangkan masa mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman Sarjan Mohd Azuan Asmuni, 40, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral pucuk pimpinan terhadap pesara wira negara yang sedang diuji dengan penyakit serius itu.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi hantaran di Facebook rasminya berkata, lawatan tersebut bukan sekadar kunjungan kebajikan, sebaliknya membawa mesej jelas bahawa pengorbanan seorang anggota tidak pernah dilupakan, apatah lagi kini berjuang di medan yang berbeza.
Menurut ATM, sepanjang 21 tahun berkhidmat bersama Rejimen Ke-11 Gerak Khas, Mohd Azuan dikenali sebagai anggota yang berdisiplin tinggi, cemerlang dalam latihan dan operasi, serta aktif dalam bidang sukan lasak termasuk triathlon.
Bagaimanapun, anggota berkenaan disahkan menghidap kanser pada 2023.
"Ujian besar dalam hidup beliau bermula pada bulan September apabila pemeriksaan darah oleh Pegawai Perubatan Rumah Sakit Angkatan Tentera Kem Sungai Udang, mendapati bacaan darah yang tidak stabil.
"Pemeriksaan lanjut di Hospital Besar Melaka mengesahkan beliau menghidap penyakit leukemia, sekali gus mengubah perjalanan hidup seorang anggota komando yang selama ini terkenal dengan ketahanan fizikal dan mental yang luar biasa.

"Sepanjang tempoh rawatan hingga tamat perkhidmatan, Rejimen Ke-11 Gerak Khas telah menguruskan segala keperluan pentadbiran dan pemantauan kebajikan Mohd Azuan bagi memastikan beliau terus mendapat perhatian sewajarnya dan tidak berdepan ujian ini secara bersendirian," katanya.
Sinar Harian pada 29 Januari lalu melaporkan kisah kegigihan Mohd Azuan yang menetap di Bangi berjuang melawan kanser.
Mohd Azuan sebelum ini dikenali sebagai seorang yang lincah dan aktif, malah pernah menyertai serta memenangi pelbagai acara triathlon terpaksa melupakan sukan kegemarannya bagi memberi tumpuan kepada rawatan seterusnya pemulihan diri.
Isterinya, Salwani Suhaida Mukhtar, 46, berkata, kehidupan suami yang merupakan pesara tentera berubah 180 darjah selepas disahkan mengidap kanser, namun tidak pernah berputus asa dan terus berjuang melawan penyakit dihidapinya itu sejak tiga tahun lalu.
Sementara itu, Malek Razak ketika lawatan berkenaan turut meluangkan masa menyantuni ahli keluarga Mohd Azuan, termasuk isteri dan anak-anak kecil yang menjadi sumber kekuatan utama beliau.
"ATM kekal komited untuk menyantuni kebajikan pesaranya terutama ketika diuji dengan kesakitan dan cabaran hidup. Seluruh warga ATM mendoakan agar Sarjan Mohd Azuan terus dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesembuhan. Semoga beliau serta keluarga diberikan ketenangan dalam menghadapi ujian ini," kata ATM menerusi hantaran tersebut.
Ringkasan AI
- Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, melawat bekas komando, Sarjan Mohd Azuan Asmuni yang berjuang melawan kanser
- Mohd Azuan berkhidmat 21 tahun dengan Rejimen Ke-11 Gerak Khas, dikenali cemerlang dalam latihan, operasi dan sukan lasak
- Disahkan menghidap kanser pada 2023 setelah pemeriksaan menunjukkan bacaan darah tidak stabil
- Rejimen Ke-11 Gerak Khas mengurus keperluan pentadbiran dan pemantauan kebajikan Mohd Azuan sepanjang rawatan hingga tamat perkhidmatan
- ATM berkomitmen menyantuni kebajikan pesaranya dan mendoakan kesembuhan untuk Mohd Azuan dan ketenangan bagi keluarganya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

