Negara harus diselamatkan daripada ancaman fahaman perpecahan - Anwar

Anwar berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara pada Isnin. Foto: Bernama
Anwar berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Kementerian Bersempena Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara pada Isnin. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Negara perlu sentiasa berwaspada dan diselamatkan daripada sebarang ancaman fahaman melampau berasaskan kaum dan agama yang boleh membawa kepada perpecahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengambil contoh fahaman fasisme, perkauman dan Islamofobia yang semakin ketara di peringkat global terutama di negara barat, Anwar berkata kemunculan fahaman seperti itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia turut merebak dalam kalangan golongan terdidik.

"Jangan kita remehkan, sekarang kebangkitan fahaman fasisme dan perkauman itu kuat di Eropah dan Amerika. Benci minoriti, Islamofobia, benci kaum lain merebak dalam kalangan yang pintar, dalam kalangan terdidik,” kata beliau ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini pada Isnin.

Perdana Menteri berkata, perkara lebih membimbangkan ialah sentimen dan fahaman melampau berkenaan sering disebarkan tanpa sandaran ilmu dan rasional.

Beliau berkata, walaupun tanggungjawab mendepani ancaman berkenaan bukan sesuatu yang mudah, cabaran itu perlu dihadapi bagi memastikan keamanan dalam negara sentiasa terpelihara.

Anwar berkata, keamanan dan kestabilan negara merupakan asas kepada pembangunan serta kemakmuran ekonomi, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

"Bila negara aman dan stabil, kita (boleh) tumpu ke arah pembangunan negara dan lain-lain," kata beliau.

Beliau berkata keupayaan negara membentuk asas dan dasar ekonomi yang kukuh untuk menarik pelaburan asing saling berkait dengan kestabilan politik.

"Baiki dasar kemudian baru boleh menarik penglibatan pelabur asing, melatih anak-anak supaya ada keterampilan dalam bidang-bidang yang tidak dikuasai sebelumnya. Semua ini harus kita fikirkan,” kata Anwar. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Negara perlu berwaspada daripada ancaman fahaman melampau
  • Fahaman fasisme, perkauman, dan Islamofobia semakin ketara di peringkat global
  • Fahaman melampau merebak dalam kalangan golongan terdidik
  • Sentimen dan fahaman melampau sering disebarkan tanpa ilmu dan rasional
  • Keamanan dan kestabilan negara asas kepada pembangunan dan kemakmuran ekonomi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!