Covid-19: Dianggar 20,000 penduduk dari 28 mukim disaring

Gambar kecil: Dr Mohd Fikri Ujang
Gambar kecil: Dr Mohd Fikri Ujang
A
A
A

ALOR SETAR - Dianggarkan 20,000 penduduk di 28 mukim di daerah Kota Setar akan menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) selepas Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diumumkan di daerah berkenaan.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, hanya penduduk yang juga kontak rapat kepada pesakit Covid-19 dan mempunyai simptom akan menjalani ujian swab.

"Jumlah dianggarkan ini mungkin meningkat jika terdapat pertambahan kes positif tapi buat masa ini, saringan dibuat secara bersasar dengan jumlah disaring bergantung kepada bilangan kes positif.

"Kontak yang berpotensi dijangkiti daripada kontak rapat berdasarkan penilaian risiko juga akan disaring selain mempunyai gejala seperti influenza like illness (ILI)," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian bagi memperjelaskan kekeliruan kalangan orang ramai yang panik apabila diumumkan semua penduduk di 28 mukim di daerah Kota Setar, iaitu seramai 366,787 akan menjalani ujian saringan Covid-19, selepas daerah itu diletakkan bawah PKPD.

Semalam, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, semua penduduk perlu menjalani saringan di klinik kesihatan berhampiran.

ARTIKEL BERKAITAN: 366,787 penduduk di Kota Setar perlu saringan Covid-19

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Kedah sedang berusaha mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes Kluster Sungai dan Telaga.

Sebanyak 28 mukim dalam daerah Kota Setar terbabit PKPD Pentadbiran iaitu, Langgar, Bukit Pinang, Gunung, Kuala Kedah, Sungai Baru, Kota Setar, Mergong, Titi Gajah, Alor Malai, Pengkalan Kudor dan Padang Lalang.

Artikel Berkaitan:

Mukim lain termasuk, Kubang Rotan, Teluk Cengai, Teluk Kechai, Pumpong, Derga, Tajar, Limbong, Tebengau, Teluk Mas, Lengkuas, Kangkong, Lepai, Hutan Kampung, Alor Merah, Anak Bukit, Sala Kechik dan Padang Hang.

PKPD Pentadbiran berkuat kuasa dari 11 sehingga 25 September ini.