'Kemungkinan besar saya akan sertai Pas' - Razali

KUALA TERENGGANU - Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris tidak menolak kemungkinan untuk menyertai Pas pada masa akan datang selepas menyelesaikan tugasnya dalam parti.
Beliau berkata, buat masa ini beliau mahu memberi tumpuan kepada tanggungjawabnya selagi masih bergelar ahli Bersatu, manakala keputusan isterinya, Datin Nor Aizam Abu Bakar menyertai Pas tidak pernah dihalang.
"Saya kena habiskan tugas saya dalam parti saya. Selagi saya sebagai ahli, saya habiskanlah. Jadi isteri saya itu memang dia rasa hendak pergi ke Pas, biar dia pergilah.
"Suami isteri sekarang politiknya bukan macam dulu lagi. Jadi saya tidak halang dia. Biarlah dia dengan cara dia, lagipun kawan-kawannya ramai dalam Pas, jadi dia boleh berjuang bersama-sama," katanya ketika ditemui pemberita di sini selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kalendar Acara Pelancongan Dan Kebudayaan (CoE) Sempena Tahun Melawat Terengganu 2027 pada Selasa.
Sebelum ini, pada 7 Ogos lalu, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dilaporkan melepaskan jawatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri selepas menerajui parti itu di Terengganu selama kira-kira sedekad.
Mengulas lanjut mengenai tindakannya itu, Razali menegaskan bahawa beliau tidak menghantar surat keluar parti, sebaliknya hanya meletakkan jawatan dalam kepimpinan parti berkenaan.
Jelas beliau, status sebagai ahli biasa membolehkannya terus bersuara membela prinsip perjuangan dan menegur parti sekiranya berlaku sebarang penyelewengan.
Sementara itu, ditanya mengenai ruang serta kemungkinan beliau menyusuli langkah isterinya selepas selesai tugasan dalam Bersatu, Razali mengakui perkara itu berkemungkinan besar akan berlaku.
"InsyaALLAH, kemungkinan besarlah tu. Doakan saya sihat, saya mampu lagi untuk membantu parti dan kerajaan. Jika saya boleh berkhidmat lagi, insya-Allah saya akan ada bersama-sama dengan anda semua," ujarnya.
Terdahulu, Nor Aizam diumumkan secara rasmi menyertai Pas pada Jumaat oleh Pengarah Program, Sheikh Mohd Hanafi Abdul Aziz sempena Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pas Terengganu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 2.0) di Dungun.
Penyertaan Nor Aizam turut diikuti tiga lagi pemimpin sayap Srikandi Bersatu negeri itu, termasuk Ketua Srikandi Muda Negeri Terengganu, Nor Dalila Zainal Abidin.
Dua lagi individu yang mengambil langkah sama ialah Norayu Jusoh serta Wan Nirani Wan Hassan.
Difahamkan, penyertaan keempat-empat pimpinan dan ahli sayap parti itu dibuat secara sukarela untuk bersama-sama meneruskan perjuangan Pas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

