Sambutan hari jadi bertukar tragedi, anak hilang ibu

KANGAR - Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat, di sini, petang Isnin.
Mangsa, Noryshah Umar, 47, yang bekerja di kantin Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan tinggal di Kampung Tebuk Tengah, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Difahamkan, mangsa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebelum singgah membeli bahan masakan bagi menyediakan hidangan sempena sambutan hari lahir anaknya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115ZR dari arah Jalan Kampung Serdang menuju ke Kampung Tebuk Tengah.
"Setibanya di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok.
"Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku di jalan lurus satu lorong dua hala ketika cuaca baik dan permukaan jalan kering, manakala motosikal mangsa mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat pada jam 9 malam bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
