Penantian 70,000 penduduk impikan dewan terbuka bakal berakhir

Juwairiya melakukan simbolik mengorek tanah sebagai simbolik kepada kerja-kerja pembinaan Kompleks Komuniti Selangor Penyayang Mukim Pasangan di Kampung Tanjung Siam, pada Rabu.
Juwairiya melakukan simbolik mengorek tanah sebagai simbolik kepada kerja-kerja pembinaan Kompleks Komuniti Selangor Penyayang Mukim Pasangan di Kampung Tanjung Siam, pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penantian kira-kira 70,000 penduduk di empat kampung Mukim Pasangan memiliki dewan terbuka berakhir apabila projek itu dijangka siap pada Oktober depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, kerajaan Selangor memperuntukkan RM336,000 bagi kerja-kerja membina dan menyiapkan Kompleks Komuniti Selangor Penyayang merangkumi dewan terbuka di Kampung Tanjung Siam.

Menurut beliau, empat kampung di Mukim Pasangan menerima manfaat menerusi projek itu ialah Kampung Tanjung Siam, Kampung Sasaran, Kampung Sepakat dan Kampung Kuantan.

"Sebelum ini penduduk di tiga kampung kecuali Kampung Asahan mempunyai balai raya, tetapi (kawasan) terhad bagi menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

"Penduduk tidak mempunyai kawasan sesuai menjalankan sebarang aktiviti hingga terpaksa mengadakan program di halaman rumah dengan mendirikan khemah di kampung masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Lawatan Tapak Pembinaan Kompleks Komuniti Selangor Penyayang Mukim Pasangan di Kampung Tanjung Siam, di sini pada Rabu.

Juwairiya yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor berkata, kewujudan kompleks komuniti itu diharap dapat dimanfaatkan penduduk setempat.

Jelas beliau, kompleks itu di bawah tanggungjawab Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor dan diurus oleh Majlis Pemuafakatan Kampung Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Siam.

Katanya, kompleks komuniti itu menyediakan kemudahan dewan baharu terbuka dilengkapi, pagar dan bumbung serta tandas.

"Ini adalah sebahagian daripada sumbangan yang saya berikan dalam tempoh lima tahun pertama saya (sebagai ADUN) Bukit Melawati," katanya.

Mengulas lanjut, Juwairiya berkata, peruntukan itu sebahagian daripada peruntukan projek Selangor Penyayang berjumlah RM1 juta di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

"Sebanyak RM500,000 telah digunakan bagi fasa pertama ini dengan RM366,000 bagi tujuan pembinaan kompleks komuniti ini dan sebahagian lagi disumbangkan kepada perolehan dan pembekalan alatan pejabat di empat agensi di DUN Bukit Melawati.

"Empat agensi itu ialah Klinik Kesihatan Kuala Selangor, IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kuala Selangor, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) Kuala Selangor serta pemasangan permaidani bagi Persatuan Veteran ATM (Angkatan Tentera Malaysia) Kuala Selangor," jelasnya.