X

Kindly register in order to view this article
!

366,787 penduduk di Kota Setar perlu saringan Covid-19

Noor Azmi (dua dari kanan) bergambar pada Program Kospen Negeri Selangor di Dewan Sri Bernam , Sabak Bernam hari ini.
A
A

SABAK BERNAM - Seramai 366,787 penduduk di 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah akan menjalani ujian saringan koronavirus (Covid-19) dalam masa seminggu selepas kawasan itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa semalam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, semua penduduk perlu menjalani saringan di klinik kesihatan berhampiran.

"Kerajaan sentiasa bertindak pantas bagi mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan mereka yang positif Covid-19 bagi membendung penularan wabak itu.

"Kita sedang berusaha mencari (mengesan) individu yang mempunyai kontak rapat dengan kes Kluster Sungai dan Telaga," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen) Negeri Selangor di Dewan Sri Bernam di sini hari ini.

Noor Azmi berkata, semua tempat awam di daerah itu juga akan dilaksanakan proses nyahcemar dari masa ke masa.

"(Perniagaan perkhidmatan) kedai makan, kedai runcit dibenarkan beroperasi mengikut waktu tertentu manakala masjid, surau dan sekolah diarahkan ditutup," katanya.

Selain itu, katanya, kira-kira 100 pasukan kesihatan telah dimobilisasikan dari seluruh Kedah.

"Ibu pejabat juga sedang mengaturkan mobilisasi dari negeri lain dan sukarelawan mengikut keperluan semasa.

"Jumlah anggota kesihatan yang diperlukan disemak dari masa ke masa mengikut keperluan dan situasi Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!