17 individu saman syarikat cemari Sungai Gong

Sebahagian yang hadir di Mahkamah Shah Alam hari ini, bagi memfailkan notis tuntutan saman terhadap syarikat yang menyebabkan pencemaran air di Sungai Gong, Selangor.
Sebahagian yang hadir di Mahkamah Shah Alam hari ini, bagi memfailkan notis tuntutan saman terhadap syarikat yang menyebabkan pencemaran air di Sungai Gong, Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 17 individu memfailkan tuntutan saman di Mahkamah Shah Alam hari ini, terhadap syarikat yang bertanggungjawab menyebabkan pencemaran di Sungai Gong, Selangor sehingga 1.2 juta rakyat menghadapi masalah ketiadaan bekalan air.

Peguam mewakili semua plantif, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, saman berkenaan difailkan secara e-failing di mahkamah berkenaan pada jam 1.52 petang.

Menurut Mohd Khairul Azam, saman itu difailkan terhadap syarikat Yip Chee Seng & Sons Sdn. Bhd. selaku defendan bagi menuntut ganti rugi dan juga berdasarkan laporan media berhubung masalah ini yang melibatkan masalah kepada pelbagai pihak.

Beliau juga berkata, saman itu turut dibuat dengan mengambil kira masalah dialami plantif yang terjejas dalam situasi tersebut antaranya suri rumah, peniaga dan ketua keluarga.

Tambah beliau, berdasarkan kesemua peristiwa yang diperincikan dalam sidang media yang dinyatakan di atas, premis perindustrian berkenaan dikenal pasti terlibat dalam kerosakan dan kecelakaan yang telah dihuraikan.

"Defendan adalah dengan jelas, nyata dan terang merupakan pihak bertanggungjawab secara langsung terhadap semua kerosakan atau kecelakaan tersebut.

"Ini secara jelas dikenalpasti merujuk kepada siaran media bertarikh 3 September 2020 jam 7 malam apabila melalui siasatan dilakukan dan kenyataan media yang dibuat Lembaga Urus Ais Selangor (LUAS) di mana insiden pencemaran ini disyaki berpunca daripada sebuah premis perindustrian di Sungai Gong yang telah melakukan pelepasan cecair berbau seakan pelarut ke dalam sungai," katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, plantif pertama Datuk Ibrahim Ali yang juga Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) bersama penyokongnya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairul Azam juga berkata, kenyataan itu secara jelas dan terang merujuk bahawa kilang itu adalah di bawah pemilikan, penyeliaan, kawalan dan kelolaan defendan.

"Plaintif turut merujuk berita pada 4 September lalu pihak berkuasa telah menahan reman empat orang pengarah syarikat defendan bagi tujuan siasatan di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan di Mahkamah Selayang dan dengan jelas tindakan itu menyokong bahawa premis itu kelolaan defendan.

"Berdasarkan fakta-fakta kes adalah jelas empat pengarah syarikat defendan melakukan dan menyebabkan berlakunya kecuaian di bawah perundangan tort yang mendatangkan kemudaratan, kesusahan, keperitan dan kecelakaan atau kecederaan terhadap plaintif-plaintif yang dinamakan di atas khususnya kepada umum di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur," katanya lagi.

Mohd Khairul Azam menambah, berdasarkan kerugian, kesusahan, dan keperitan dialami maka kesemua plaintif berkenaan dengan ini menuntut terhadap defendan berhubung ganti rugi am, ganti rugi spesifik, ganti rugi teladan, kos dan sebarang relif lanjut atau lain yang dianggap wajar dan adil oleh pihak mahkamah.