TRAGEDI kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, terus mencetuskan gelombang emosi dan kemarahan masyarakat.
Namun, di sebalik tuntutan mencari kebenaran, siasatan rasmi dicemari dengan pelbagai spekulasi dan berita palsu yang berlegar di media sosial sehingga mengganggu proses undang-undang serta menambah luka keluarga mangsa.
Zara dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Ketiadaan bedah siasat awal membuka ruang kepada pelbagai persoalan, dan sejak itu media sosial menjadi medan subur untuk dakwaan liar serta teori konspirasi.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuka 15 kertas siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan kes ini.
Antara yang ditahan ialah seorang guru yang memuat naik video di TikTok mendakwa Zara didera dengan dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Malah, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mendedahkan kewujudan seorang individu yang menyamar sebagai pakar patologi dan membuat dakwaan palsu kononnya hasil bedah siasat menunjukkan unsur jenayah.
Individu tersebut, yang digelar ‘patologi palsu’, dipercayai cuba memanipulasi emosi orang ramai untuk meraih tontonan.
Hakikatnya, perbuatan itu menyalahi undang-undang dan memperdaya masyarakat hingga mencetuskan lebih banyak kekeliruan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menegaskan tindakan akan diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan serta peruntukan lain yang relevan.
Lebih membimbangkan, ada juga pihak yang menyebarkan audio palsu mendakwa Zara dibunuh secara terancang.
Seorang lelaki berusia 51 tahun ditahan selepas audio berkenaan tular, dan polis merampas telefon bimbitnya untuk siasatan lanjut.
Semua tindakan ini jelas menunjukkan betapa seriusnya ancaman berita palsu terhadap kredibiliti siasatan.
Dalam masa sama, identiti pelaku buli yang masih bawah umur tidak boleh didedahkan kerana dilindungi undang-undang.
Situasi ini menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan netizen yang mendakwa kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu.
Persepsi ini terus mencetuskan spekulasi liar bahawa terdapat usaha untuk melindungi pihak tertentu.
Spekulasi itu bagaimanapun dinafikan secara tegas oleh Saifuddin. Beliau menegaskan tidak ada pihak berprofil tinggi atau VVIP yang terbabit dalam kes ini, apatah lagi wujudnya campur tangan politik.
Malah, peguam keluarga Zara turut mengesahkan proses ekshumasi dan bedah siasat dijalankan dengan telus, tanpa pengaruh mana-mana pihak berkuasa.
Ibu Zara sendiri tampil menafikan kaitan anaknya dengan tokoh tertentu, sekali gus meminta orang ramai berhenti menokok tambah cerita yang hanya menambah derita keluarga.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula mengingatkan masyarakat agar menyerahkan siasatan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, bukannya menambah fitnah di media sosial.
Namun, meskipun penjelasan rasmi sudah berkali-kali disuarakan, segelintir masyarakat masih memilih untuk mempercayai naratif sensasi.
Ada yang mendakwa kematian Zara dirancang, ada yang menuduh wujud ‘cover-up’, malah ada juga yang mengaitkan keluarga pemimpin negeri. Semua dakwaan itu dinafikan secara terbuka oleh pihak polis dan kerajaan.
Apa yang berlaku jelas menggambarkan betapa mudahnya masyarakat terdedah kepada manipulasi maklumat di era digital.
Kekurangan maklumat tepat dan pantas daripada sumber rasmi sering diisi dengan teori konspirasi yang meraih lebih perhatian, sekali gus merosakkan kepercayaan awam terhadap siasatan sebenar.
Normalisasi berita palsu sebagai sumber maklumat utama adalah ancaman baharu yang tidak boleh dipandang ringan.
Jika masyarakat terus gagal membezakan laporan sahih dengan naratif sensasi, bukan sahaja proses siasatan terjejas, malah maruah keluarga mangsa turut menjadi mangsa fitnah.
Kes Zara Qairina adalah tragedi yang sepatutnya ditangani dengan empati dan tanggungjawab.
Namun, apabila ruang maya dipenuhi manipulasi, keluarga mangsa akhirnya menjadi mangsa kedua dipaksa menanggung beban fitnah selain kehilangan insan tersayang.
Siasatan telus mesti diteruskan, tetapi pada masa sama penguatkuasaan undang-undang terhadap penyebar berita palsu perlu diperketat.
Dalam mencari keadilan untuk Zara, masyarakat juga harus belajar membezakan fakta daripada fitnah agar kebenaran tidak terus ditenggelamkan oleh spekulasi.
Lagi artikel berkaitan:
Lima remaja bawah 18 tahun akan didakwa kes buli Zara Qairina
Kes Zara Qairina: Peguam desak pertuduhan Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan
Ibu Zara Qairina tolak bedah siasat, mahu segera kebumi anak
Kes Zara Qairina: Wujud elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual - Saifuddin
Tiada ‘cover up’, polis serah kertas siasatan Zara Qairina kepada AGC - Saifuddin
Inkues kes Zara Qairina bermula 3 September ini
[KRONOLOGI] Kes kematian Zara Qairina
Kes Zara Qairina: JIPS akan ambil keterangan tiga pegawai kanan polis
Gelombang 'Justice for Zara Qairina' tersebar ke seluruh dunia
'Kami panik dan tiada nasihat diberikan mengenai proses bedah siasat' - Ibu Zara Qairina
Kes Zara Qairina: Polis nafi pembabitan VVIP
Kes Zara Qairina: Ini 13 intipati penting didedahkan Pengarah JSJ Bukit Aman
Ibu Zara Qairina tanda tangan dokumen tidak bedah siasat - Pengarah JSJ
Pegawai penyiasat kes Zara Qairina tidak ikut SOP, tindakan tegas akan diambil - Pengarah JSJ
Peguam Negara arah inkues kes kematian Zara Qairina
Pasukan khas JSJ Bukit Aman ke Sabah ambil alih siasatan kes Zara Qairina
Peguam sahkan wujud kecederaan pada jasad Zara Qairina
Shahlan bertahan 8 jam saksikan forensik bongkar kebenaran kematian Zara Qairina
Jasad Zara Qairina masih utuh, dalam keadaan baik - Imam masjid
Jenazah Zara Qairina selamat dikebumikan, orang ramai iringi zikir 'Lailahaillallah’
Kes Zara Qairina: Laungan 'Allahuakbar', penduduk dakwa hidu bau harum
Peguam Negara arah kubur Zara Qairina digali semula
Cerita Zara Qairina dimasukkan ke mesin basuh hanya spekulasi - Peguam
Telefon bimbit mengandungi audio perbualan Zara Qairina diserah kepada polis
'Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni' - Ibu dedah Zara Qairina diugut 'Kak M'
Kematian Zara Qairina: Polis tidak tolak kemungkinan wujud unsur buli
Kes Zara Qairina: 60 individu termasuk 'Kak Wana, Kak Dedeng dan tomboi' dipanggil polis
Kes Zara Qairina: Istana Seri Kinabalu nafi penglibatan keluarga TYT Sabah
'Saya sudah bersara, tiada kaitan kes kematian Zara Qairina' - Bekas pengetua sekolah
Gelombang #JusticeForZara tular di media sosial, desak siasatan dedah kebenaran
'Hilang satu-satunya anak, ibu harap keadilan buat Zara'
'Saya takkan maafkan' – Luahan ibu pelajar maut didakwa akibat dibuli