Peguam Negara arah kubur Zara Qairina digali semula

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara mengesahkan keperluan untuk menggali semula kubur Zara Qairina Mahathir bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.
Jabatan itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian dilakukan terhadap laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian remaja terbabit.
"Setelah Jabatan ini meneliti laporan penuh siasatan awal yang telah dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian Zara Qairina, Jabatan ini berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan segala aspek siasatan dapat dilaksanakan dengan menyeluruh.
"Sehubungan itu, laporan penuh siasatan awal telah dikembalikan semula kepada PDRM bersama beberapa arahan, termasuk keperluan untuk menggali semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah," katanya pada Jumaat.
Jabatan Peguam Negara memaklumkan, langkah berkenaan bertujuan untuk memastikan pihak polis memperoleh maklumat dan bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina.
Media sebelum ini melaporkan satu laporan polis tambahan telah dibuat oleh keluarga mangsa pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang termasuk permohonan agar kubur Zara digali semula bagi membolehkan satu inkues dijalankan.
Ia susulan tiada bedah siasat dilakukan terhadap jenazah Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, selepas remaja itu disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu, dedah peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri yang mewakili ibu mangsa, Noraidah Lamat, 45.
Pada Rabu lalu, AGC telah menyerahkan semula laporan siasatan awal kepada polis untuk melengkapkan siasatan kes kematian remaja berkenaan.
Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
