Usah pandang remeh keselamatan awam

Iklan
Insiden serangan terhadap kanak-kanak ini wajar menjadi titik tolak kepada penilaian semula keselamatan awam secara menyeluruh. Foto hiasan 123rf.

INSIDEN seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Hulu Selangor yang diserang secara ganas ketika menuju ke pasar malam baru-baru ini seharusnya dilihat sebagai satu amaran awal yang serius mengenai tahap keselamatan di tempat awam.

Walaupun kejadian berlaku secara tiba-tiba dan melibatkan individu bermasalah, kesannya jauh lebih besar kerana ia menyentuh rasa selamat masyarakat secara keseluruhan, khususnya ibu bapa.

Iklan
Iklan

Dalam analisis keselamatan awam, jenayah melibatkan kanak-kanak dianggap sebagai penanda aras kritikal. Ia bukan kes terpencil, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistem perlindungan sosial dan keselamatan persekitaran.

Kejadian berlaku di kawasan perumahan dan laluan awam menimbulkan persoalan sama ada ruang awam masih menjamin keselamatan asas kepada pengguna paling rentan.

Iklan

Pakar keselamatan berpendapat, kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan awam tidak semestinya berpunca daripada peningkatan mendadak kadar jenayah tetapi lebih kepada sifat jenayah yang semakin berani dan tidak dapat dijangka.

Faktor penyalahgunaan dadah dilihat antara penyumbang utama kepada tingkah laku agresif di tempat awam. Dalam konteks ini, isu keselamatan awam tidak boleh dipisahkan daripada kegagalan menangani masalah dadah secara menyeluruh dan berkesan.

Iklan

Selain itu, tekanan sosioekonomi seperti pengangguran, kemiskinan bandar dan kerapuhan sokongan komuniti turut menyumbang kepada peningkatan risiko jenayah kekerasan.

Apabila individu terpinggir gagal diserap ke dalam sistem sosial yang stabil, ruang awam sering menjadi medan pelepasan tekanan dan kemarahan dengan mangsa yang tidak bersalah menjadi sasaran.

Dari sudut perancangan bandar, pakar turut menegaskan bahawa reka bentuk persekitaran memainkan peranan penting dalam keselamatan awam. Kawasan yang kurang pencahayaan, lorong sempit, ketiadaan pemantauan dan kurang kehadiran pihak berkuasa secara fizikal membuka peluang kepada pelaku jenayah.

Keselamatan tidak boleh hanya bergantung kepada tindak balas selepas kejadian, sebaliknya perlu dibina melalui reka bentuk bandar yang berorientasikan pencegahan.

Walaupun polis bertindak pantas menahan suspek, pendekatan berasaskan penguatkuasaan semata-mata dilihat tidak mencukupi.

Sikap ambil tahu, budaya menegur dan kepekaan terhadap tingkah laku mencurigakan perlu diperkukuh.

Dalam banyak kes, pelaku jenayah sebenarnya dikenal pasti oleh komuniti namun kegagalan bertindak awal menyebabkan tragedi berlaku. Konsep kejiranan selamat tidak harus terhad kepada papan tanda semata-mata tetapi diterjemahkan melalui tindakan kolektif.

Kesimpulannya, insiden serangan terhadap kanak-kanak ini wajar menjadi titik tolak kepada penilaian semula keselamatan awam secara menyeluruh.

Masyarakat tidak boleh terus bergantung kepada naratif bahawa jenayah adalah kes terpencil.

Keselamatan di tempat awam perlu dilihat sebagai ekosistem yang merangkumi faktor sosial, ekonomi, persekitaran dan psikologi. Jika amaran awal ini gagal diambil serius, ruang awam berisiko kehilangan fungsi utamanya sebagai tempat yang selamat untuk semua lapisan masyarakat.

Isu keselamatan di tempat awam menuntut keberanian untuk melakukan penilaian dasar secara jujur dan berterusan.

Lebih penting, keselamatan awam perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang demi menjamin ruang awam kekal selamat, inklusif dan berfungsi sebagai nadi kehidupan masyarakat.

*Syajaratulhuda Mohd Rosli ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara