Ibu Zara Qairina tanda tangan dokumen tidak bedah siasat - Pengarah JSJ

KUALA LUMPUR - Semakan polis mendapati ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menandatangani dokumen hospital ‘Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang turut disahkan oleh doktor patologi dan pegawai penyiasat terbabit pada peringkat awal.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, walaupun ada permohonan keluarga untuk tidak menjalankan bedah siasat, undang-undang memberi kuasa kepada pegawai penyiasat untuk memohon prosedur itu sekiranya terdapat keraguan terhadap punca kematian.
"Selepas perbincangan bersama agensi berkaitan pada 10 Ogos lalu, bedah siasat dijalankan atas permintaan polis, disertai tiga doktor dari Hospital Serdang dan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
“Dapatan bedah siasat kedua adalah selari dengan diagnosis awal, iaitu kecederaan otak teruk akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak berpunca daripada jatuh,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Rabu.
M Kumar berkata, semua dapatan bedah siasat dijelaskan kepada keluarga mangsa secara telus dan difahami bahawa prosedur ini sepatutnya dilakukan sebaik sahaja kematian berlaku bagi memastikan bukti forensik tidak terjejas.
"Kita sedang meneliti tindakan tegas terhadap pegawai penyiasat dan pegawai penyelia yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kemungkinan penggantungan tugas, namun masih diperingkat siasatan.
“Setiap kematian yang menimbulkan syak wasangka wajib melalui proses bedah siasat. Pegawai penyiasat perlu menasihati keluarga dan memastikan prosedur itu dijalankan bagi menentukan punca sebenar kematian,” katanya.
Kumar memaklumkan, siasatan kini berjalan dalam dua hala tuju, iaitu permohonan inkues kepada koroner dan siasatan jenayah termasuk elemen buli, selari dengan Seksyen 507(2) Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
