Peguam Negara arah inkues kes kematian Zara Qairina

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mengadakan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina Mahathir bagi menentukan punca serta sebab kematian, termasuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Selasa dan selaras dengan peruntukan subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593].
Menurut kenyataan dikeluarkan jabatan itu, inkues akan dijalankan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.
Jumaat lalu, Jabatan Negara mengesahkan keperluan untuk menggali semula Zara Qairina bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berusia 13 tahun itu.
Jelasnya, keputusan tersebut dibuat selepas penelitian dilakukan terhadap laporan penuh siasatan awal yang dikemukakan oleh PDRM berhubung kes kematian remaja terbabit.
Kubur Zara Qairina digali semula pada petang Sabtu dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bagi tujuan berkenaan.
Media Pada Ahad melaporkan jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan dan jenazah dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang yang terletak kira-kira 130 kilometer dari hospital tersebut.
Peguam keluarga Allahyarham mengesahkan memang terdapat kecederaan pada tubuh remaja berusia 13 tahun itu, sebagaimana yang tersebar di media sosial hasil pemerhatian sepanjang proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Zara Qairina, 13, dilaporkan meninggal dunia bulan lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan sekolahnya di Kota Kinabalu, Sabah.
Kes berprofil tinggi itu mencetuskan perhatian umum selepas keluarga mendakwa berlaku unsur kecuaian pihak sekolah dalam mengendalikan keselamatan murid.
Peristiwa tersebut turut mengundang desakan daripada pelbagai pertubuhan masyarakat sivil, aktivis pendidikan dan badan hak asasi kanak-kanak agar siasatan bebas dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
