DATUK Seri Hamzah Zainudin kini bukan sahaja menjadi tumpuan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi juga pemerhati politik selepas beliau dipercayai sedang menghadapi tekanan dalaman parti yang semakin serius.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan tentang masa depan beliau sebagai Timbalan Presiden Bersatu dan Ketua Pembangkang.
Perkembangan itu susulan tindakan Lembaga Disiplin Bersatu mengeluarkan notis panggilan kali kedua kepada Hamzah bagi memberi keterangan berhubung beberapa aduan disiplin yang dikemukakan terhadapnya.
Difahamkan, empat aduan berasingan dibuat, termasuk dakwaan kegagalan beliau menghalang kenyataan-kenyataan yang didakwa mencemarkan imej Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Larut itu juga didakwa terlibat dalam rundingan tanpa mandat rasmi yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pimpinan parti.
Notis bertarikh 6 Februari lalu itu turut menyatakan bahawa kegagalan Hamzah untuk hadir pada sesi dipanggil membolehkan Lembaga Disiplin mengambil keputusan secara muktamad tanpa kehadiran beliau.
Situasi itu memberi gambaran bahawa proses disiplin yang sedang berjalan adalah serius dan boleh membawa kepada tindakan yang lebih keras.
Perkembangan berkenaan turut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan ahli politik dan pemerhati politik, khususnya berhubung kemungkinan pemecatan Hamzah daripada keahlian Bersatu.
Bekas pemimpin parti, Datuk Saifuddin Abdullah menjangkakan Hamzah berkemungkinan dipecat menerusi proses disiplin berkenaan, sambil menyatakan beliau tidak terkejut sekiranya tindakan itu diambil.
Menurut Saifuddin, sebelum ini wujud desakan daripada penyokong Presiden parti untuk menyingkirkan Hamzah dan beberapa pemimpin lain juga telah dipecat menerusi mekanisme yang sama.
Saifuddin turut mempersoalkan peranan Lembaga Disiplin sama ada ia benar-benar menjalankan fungsi tatatertib secara adil, atau digunakan sebagai alat untuk mengekang perbezaan pendapat dalam parti.
Beliau menegaskan bahawa tindakan luar biasa ini mungkin mencerminkan ketegangan dalam Bersatu yang lebih mendalam, dan memberi impak negatif kepada imej parti, khususnya apabila rakyat sedang memerhati isu yang lebih besar membabitkan negara.
Penganalisis politik turut melihat keadaan ini sebagai simbol pertembungan kuasa antara kelompok di dalam Bersatu yang mahu mengekalkan kepimpinan Muhyiddin dan golongan yang dikaitkan dengan Hamzah serta pandangan berbeza tentang hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketegangan ini bukan sahaja memberi ancaman kepada kedudukan Hamzah sendiri, tetapi turut mencetuskan persoalan tentang keutuhan jentera parti dalam menghadapi cabaran politik masa hadapan.
Sehingga kini, keputusan rasmi Lembaga Disiplin belum diumumkan, manakala Hamzah juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi menjawab dakwaan yang dikenakan terhadapnya.
Apa yang pasti, masa depan beliau dalam Bersatu kini bergantung kepada hasil proses disiplin dalaman parti, yang berkemungkinan menyaksikan perubahan besar dalam struktur kepimpinan parti itu.