KEPUTUSAN kerajaan meluaskan kategori barangan di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sekadar penambahan senarai bantuan, sebaliknya mencerminkan usaha menangani isu sebenar kos sara hidup rakyat, khususnya di luar bandar.
Bagi penduduk kampung dan kawasan pedalaman, cabaran utama bukan hanya harga barang keperluan, tetapi jarak untuk mendapatkannya.
Pasar raya besar lazimnya terletak jauh di pekan atau bandar, memaksa rakyat menanggung kos petrol dan masa sekali gus mengundang pelbagai persepsi.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa bilangan kedai runcit kecil yang terlibat dalam pelaksanaan SARA akan ditingkatkan kepada 10,000 buah menjelang hujung tahun ini dengan jarak capaian dikurangkan kepada tujuh kilometer, dilihat memberi kelegaan nyata kepada rakyat luar bandar.
Langkah itu menjadikan bantuan lebih mudah diakses dan bersifat praktikal.
Pada masa sama, peluasan kategori barangan kepada makanan sejuk beku turut melengkapkan keperluan dapur isi rumah.
Makanan jenis ini bukan sahaja tahan lama dan mudah disediakan, malah menjadi pilihan utama keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang perlu berjimat serta mengurus perbelanjaan harian dengan lebih teliti.
Walaupun nilai RM100 yang disalurkan melalui MyKad mungkin dilihat kecil bagi sesetengah pihak, kesannya menjadi lebih besar apabila akses dipermudah dan pilihan barangan diperluaskan.
Dalam konteks luar bandar, RM100 yang boleh dibelanjakan di kedai runcit berhampiran jauh lebih bermakna berbanding bantuan yang memerlukan perjalanan jauh.
Lebih penting, pelaksanaan SARA melalui kedai runcit kecil turut memberi kesan berganda kepada ekonomi setempat.
Aliran perbelanjaan dalam komuniti bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah menyokong kelangsungan peniaga kecil di peringkat akar umbi.
Secara keseluruhan, peluasan inisiatif SARA memperlihatkan peralihan pendekatan bantuan kerajaan daripada sekadar pemberian tunai kepada penyelesaian yang lebih menyeluruh, selain mengambil kira keperluan rakyat menjelang musim perayaan termasuk Tahun Baharu Cina dan Ramadan tidak lama lagi.