SABAK BERNAM - Seorang guru sebuah sekolah agama menengah di Pasir Panjang berdepan detik ngeri selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kilometer 58 Jalan Teluk Intan - Klang, berhampiran Sungai Nipah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Khairun Ain Nadiah Mohd Sahabuddin, 26, yang memandu kereta jenis Proton Waja gagal mengawal kenderaannya ketika cuba mengelak sebuah motosikal yang membuat pusingan U.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Besar menuju ke arah Klang.

"Sebaik mangsa sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal yang belum dikenal pasti membuat pusingan U dari sebelah kanan jalan yang menghala ke Sabak Bernam.

"Mangsa sempat mengelak motosikal berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, kereta mangsa terbabas ke bahu jalan kiri arah Klang sebelum terlanggar beberapa batang besi paip air di bahu jalan sebelum terbalik di atas penghadang batu simen di bahu jalan.

Katanya, mangsa yang mengalami cedera ringan dibantu orang awam.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Desa Simpang Lima dan dirawat sebagai pesakit luar.

"Kes disiasat Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Dorahim Saadin, mengikut Peraturan10 LN 166/59.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Dua beranak nyaris maut selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan dalam kemalangan yang berlaku di Km 15, Jalan Temerloh-Bahau, Bera, semalam.
  • PONTIAN - Seorang lelaki dan wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 53.2 Jalan Johor Bahru-Batu Pahat berhampiran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pontian, di sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.