SHAH ALAM - Susulan isu serbuan yang dilakukan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Persatuan Bible Malaysia (BSM), Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh meminta kerajaan negeri itu berhati-hati dalam menangani isu tersebut.

Menurutnya, isu yang melibatkan Jais dan BSM itu adalah isu sensitif dan berat.

"Kerajaan negeri mesti berhati-hati menghadapi masalah ini. Sensitiviti semua agama mesti dijaga.

"Tindakan Jais merampas Bible tanpa memaklumkan exco dan menteri besar selepas kejadian Gereja Methodist Damansara Utama bukan perkara ringan.

"Yang dirampas adalah Bible yang turut dianggap kitab suci," katanya kepada Sinar Harian Online melalui SMS, hari ini.

Jumaat lalu, Jais memberitahu agensi itu terlupa untuk memaklumkan kepada jabatan-jabatan berkaitan dalam kerajaan negeri berhubung serbuan yang menyaksikan lebih 300 salinan Bible dirampas di pejabat BSM pada Khamis.

"Jais mendakwa bahawa mereka melakukan serbuan itu kerana merasakan ia melanggar Enakmen 1988 tentang penggunaan kalimah ALLAH" ujar  Exco Hal Ehwal Islam Selangor, Sallehen Mukhyi

Dalam pada itu Hannah yang juga Adun Subang Jaya berkata, beliau menunggu respon daripada Menteri Besar Selangor berhubung pengakuan Jais itu.

"Saya tak komen isu ini lagi... tunggu menteri besar komen selepas mendapat laporan Jais memandangkan Jais sudah mengaku terlupa memaklumkan kepada kerajaan negeri.

"Saya mahukan perpaduan rakyat Selangor dijaga," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.