KUALA LUMPUR - Pesawat Malaysia Airlines dalam penerbangan ke Kuala Lumpur yang terpaksa berpatah ke Melbourne pada Rabu kerana seorang penumpang "membuat kacau", dijadual berlepas dari bandar raya Australia itu pada 8 malam ini waktu tempatan.

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Airlines Berhad berkata, penerbangan dikendalikan sebagai MH128D itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 2.35 pagi waktu Malaysia esok.

Sementara itu, penumpang yang amat perlu mengambil penerbangan sambungan diperuntukkan kerusi dalam Penerbangan MH148, yang berlepas dari Melbourne pada 1.55 tengah hari waktu tempatan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: MH128 terpaksa patah balik kerana penumpang buat kacau]

Menurut kenyataan itu, tiga penerbangan Malaysia Airlines dijadual berlepas dari Melbourne hari ini dan pihak berkuasa keselamatan Australia telah mengimbas semua bagasi.

"Kru teknikal dan kabin Malaysia Airlines yang mengendalikan MH128/31 Mei tidak akan ditugaskan bagi mana-mana penerbangan sehingga diberitahu kelak. Kumpulan kru baharu akan mengendalikan MH128D," kata kenyataan itu.

"Siasatan (mengenai kejadian pada Rabu itu) diketuai pihak berkuasa Australia sedang dijalankan dan Malaysia Airlines ingin menyampaikan penghargaannya kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan dalam keadaan mencemaskan itu," katanya.

Kru kabin, dengan bantuan seorang penumpang, berjaya menghalang dan menguasai penumpang yang menimbulkan masalah itu sebelum menggarinya.

Penerbangan itu sepatutnya tiba di Kuala Lumpur  pada  5.28 pagi hari ini. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH127 yang sedang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di (KLIA) Sepang menuju ke Perth Australia tidak meneruskan penerbangan kerana disyaki sebuah tayar pesawat itu pecah.
  • SEPANG - Dua tayar pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH726 dari Jakarta mengempis selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
  • KUALA LUMPUR - Penumpang penerbangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH2718 yang tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Sibu Sabtu lepas, terselamat kerana kecekapan kapten kapal tersebut yang berjaya mengawal situasi dengan baik sekali, kata pakar penerbangan.
  • KUALA LUMPUR - Sebuah pesawat Malaysia Airlines yang membawa 61 penumpang dan enam orang anak kapal tergelincir semasa mendarat di Lapangan Terbang Sibu dalam hujan lebat malam ini.