PUTRAJAYA - Kritikan oleh orang ramai terhadap penghakiman mahkamah mesti dilakukan secara membina dan dengan penuh hormat serta berniat  baik, kata Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif.

Beliau berkata seseorang tidak seharusnya mencabar keputusan badan kehakiman berlandaskan kepercayaan politik seseorang.

"Saya mengaku bahawa setiap warga negara memang mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk mencabar dan menguji kewajaran penghakiman melalui proses yang patut. Kami mengaku bahawa penghakiman kami terbuka kepada kritikan oleh orang ramai secara keseluruhan," kata beliau dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman  2018.

Beliau berkata hak untuk memberi  komen atau mengkritik penghakiman  mahkamah perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab kerana adalah penting kredibiliti mahkamah tidak terjejas memandangkan mahkamah adalah saluran  yang digunakan oleh rakyat untuk melindungi hak mereka di bawah perlembagaan.

Raus berkata peguam khususnya harus tenang dalam reaksi dan mengawal diri, bertindak secara berhemah, dan bersikap bersopan-santun  sebelum membuat apa-apa kenyataan yang tidak wajar terhadap badan kehakiman terutama dalam pedebatan umum dan perbincangan.

Raus berkata adalah penting pengkritik harus mempunyai pemahaman yang jitu mengenai fakta, isu yang terlibat dan undang-undang yang terpakai.

"Saya  sedar bahawa hakim tidak terkecuali daripada melakukan kesilapan dan harus terbuka kepada kritikan. Namun, kritikan yang keras dan tidak berasas mengancam asas kedaulatan undang-undang dan melemahkan badan kehakiman dalam melaksanakan tanggungjawabnya di bawah perlembagaan," kata beliau.

Beliau berkata sistem kehakiman adalah bersifat “self-correcting” dan seseorang yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh menggunakan saluran seterusnya melalui proses rayuan.

Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman 2018 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa  Putrajaya (PICC) dihadiri oleh kira-kira 700 orang dari fraterniti perundangan terdiri daripada hakim, pesara hakim, pegawai dari badan kehakiman dan Jabatan Peguam Negara serta beberapa orang peguam.

Acara itu yang sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pembukaan Tahun Perundangan sekarang dinamakan Majlis Pembukaan Tahun Kehakiman menyaksikan hanya Ketua Hakim Negara menyampaikan ucapan dan tidak seperti  sebelumnya apabila Presiden Badan Peguam Malaysia dan Peguam Negara juga berucap.

Dalam ucapannya, Raus berkata untuk tahun ini, objektif badan kehakiman ialah tidak sepatutnya ada penangguhan apabila tarikh perbicaraan bagi sesuatu kes telah ditetapkan.

Beliau berkata sebaik sahaja tarikh perbicaraan ditetapkan, kes perlu diteruskan secara berterusan hingga selesai dan menambah bahawa penangguhan kes beberapa kali merupakan satu kelaziman di mahkamah selama bertahun-tahun.

"Penangguhan hanya boleh diberikan dalam keadaan-keadaan tertentu. Penangguhan perbicaraan mestilah jarang berlaku," kata beliau dan menambah badan Peguam Malaysia harus memainkan peranan proaktif mengenai perkara ini.

"Mengikut aturan, saya tidak akan melayani lagi permohonan bagi penangguhan kes atas alasan menghadiri persidangan, mesyuarat agung tahunan, mesyuarat agung luar biasa dan sebagainya. Begitu juga, Jabatan Peguam Negara juga harus mematuhi peraturan ketat ini.  Peraturannya ialah tidak ada penangguhan kecuali jika berlaku kematian  atau hampir meninggal," kata beliau.

Raus berkata  badan kehakiman menegaskan komitmennya kepada misi untuk mengekalkan sistem kehakiman yang bebas dan cekap yang menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang, melindungi hak dan kebebasan individu serta mendapat kepercayaan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Raus berkata masyarakat boleh mendapat jaminan bahawa badan kehakiman sedar mengenai peranannya di bawah perlembagaan dalam memastikan  tindakan Badan Eksekutif dan Perundangan mematuhi sepenuhnya undang-undang dan hak asasi dan kebebasan rakyat dilindungi sepenuhnya.

"Bukanlah fungsi badan kehakiman untuk mencampuri dalam perkara-perkara yang di bawah bidang tanggungjawab badan Eksekutif atau Perundangan. Begitu juga, kami mengharapkan Badan Eksekutif dan Perundangan tidak campur tangan dalam perkara-perkara di bawah bidang kuasa Badan Kehakiman," kata beliau.

Raus juga berkata hubungan kerja antara Badan Kehakiman, Badan Peguam dan Jabatan Peguam Negara mesti dan dikekalkan sambil menambah beliau akan berusaha untuk mengekalkan dan memupuk tradisi kerja bersama-sama dengan Badan Peguam, Jabatan  Peguam Negara dan pihak-pihak berkepentingan lain.

Beliau berkata sistem keadilan yang baik memerlukan kerjasama Badan Kehakiman, Peguam Negara dan pegawainya serta Badan Peguam demi mencapai objektif utama memberi khidmat kepada orang ramai.

Raus juga mengumumkan bahawa dua kompleks mahkamah yang baharu tahun ini telah siap iaitu di Kota Kinabalu, Sabah dan di Tapah, Perak dan siap untuk digunakan menjelang Mac. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :