KUALA LUMPUR- Bulan Ramadan amat istimewa dan kehadirannya diraikan dengan pelbagai gelaran seperti bulan keberkatan, bulan pengampunan dan bulan al-Quran.
   
Lebih istimewa, hampir semua ibadat khusus dalam Islam terkumpul dalam bulan ini seperti solat terawih dan witir, tilawah dan tadarus al-Quran, iktikaf, zakat, sedekah dan amalan kebajikan yang lain.
   
Setiap ibadah khusus itu pula mempunyai kelebihan tertentu, ganjaran pahala yang hebat, rahmat, pengampunan dan jaminan syurga.
   
Antara kelebihannya ada disebut dalam sepotong hadis Rasullullah S.A.W yang diriwayat oleh at-Tirmidzi yang bermaksud ‘Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan’.
   
Pengajaran dari hadis itu termasuk setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba melakukan kebajikan pada bulan Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti memperbanyakkan sedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah pada hari akhirat kelak.
   
Tambahan pula, mereka yang memberi makan untuk berbuka kepada orang berpuasa akan menerima pahala sebanyak orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan pahalanya sedikit pun.
   
Ini menunjukkan amalan bersedekah adalah paling afdal dilakukan pada bulan Ramadan, bukan sahaja dalam bentuk wang tetapi juga memberi makan berbuka kepada fakir miskin dan orang yang berpuasa.

MENDAPAT TUMPUAN
   
Di Malaysia, amalan bersedekah pada bulan Ramadan adalah budaya mulia yang amat popular dan menjadi pilihan banyak organisasi dan badan korporat untuk dijadikan cabang tanggungjawab sosial syarikat.
   
Rata-rata tumpuan diberi kepada kanak-kanak dari rumah kebajikan, keluarga miskin, anak yatim dan piatu serta kelainan upaya dengan harapan kanak-kanak itu mendapat pengalaman yang berbeza dari rutin harian mereka, lantas menimba serba sedikit pengetahuan.
   
Antara kelainan sedekah yang menarik pernah dilakukan oleh syarikat korporat besar kepada mereka sempena Ramadan termasuk Petronas yang membudayakan semangat sukarelawan di kalangan kakitangan melalui pengambilan anak angkat.
   
Selama lima tahun berturut-turut sehinggalah tahun lepas, setiap seorang daripada sekitar 200 kakitangan telah mengambil seorang anak angkat untuk dibawa membeli-belah persiapan Ramadan.
   
Lebih bermakna lagi, mereka sebenarnya mengeluarkan wang dari poket sendiri untuk dibelanjakan dalam program yang dinamakan ‘Sentuhan Kasih Aidilfitri’.
   
Tahun ini, antara penghuni rumah kebajikan di kawasan Lembah Klang yang bertuah tahun ini ialah 25 anak yatim dari Rumah Sentuhan Budi yang terletak di Jalan Ipoh.
   
Pastinya, Aidilfitri tahun ini amat bermakna kerana mereka berpeluang pergi membeli-belah bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) dan masing-masing mendapat sepasang kasut raya baru pilihan sendiri.

Kelainan bersedekah turut dilakukan oleh Suria KLCC yang menganjurkan majlis berbuka puasa untuk kanak-kanak kurang berkemampuan dari Pusat Jagaan Suci
Rohani baru-baru ini.
   
Pada majlis itu, seramai 28 kanak-kanak diberi pendedahan mengenai alatan muzik tradisional gamelan dan seni anyaman ketupat.
   
Peluang melihat sendiri set muzik gemersik itu, apatah lagi memegang dan memainkan alatan seperti gambang, kenong, saron dan gendang pasti menjadi sesuatu yang amat bermakna.
   
Lawatan mereka bertambah ceria apabila dijamu berbuka dengan hidangan gaya Thai serta duit raya bernilai RM100 setiap seorang.
   
Menurut penjaga yang mengiringi, Zetty Mazlinda Zakaria, kanak-kanak Pusat Jagaan Suci Rohani adalah anak-anak fakir miskin berusia antara tujuh hingga 12 tahun yang menetap sekitar Petaling Jaya.
   
"Rumah jagaan kami baru dibuka tiga tahun lepas dan menyediakan asrama kepada 30 pelajar sekolah rendah yang dihantar menghadiri Sekolah Rendah Tahfiz al-Mahabbah di Sungai Penchala", jelas Zetty Mazlinda.
   
Beliau turut mengalu-alukan sebarang bentuk sumbangan daripada orang awam dalam usaha menyediakan sokongan kepada sekitar 40 keluarga ibu bapa tunggal, keluarga miskin dan penghidap penyakit kronik. 

ACARA TAHUNAN
  
Sedikit berbeza dengan jirannya, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang mengadakan majlis jamuan khas berbuka puasa melibatkan semua kakitangan mereka dan 80 kanak-kanak dari keluarga miskin tanpa mengira agama dan kepercayaan.
   
Pastinya ia juga menjadi satu pengalaman menarik kepada kanak-kanak yang dinaungi oleh badan kebajikan Living Hope dan Yellow House yang berpeluang untuk berkenalan dengan ratusan hidangan berbeza dari seluruh dunia.
   
Tidak dinafikan KLCC terkenal dengan hamparan buffet antarabangsa dengan citarasa Malaysia, termasuk pelbagai pilihan laksa, sate, murtabak, rendang dan bubur lambuk, hinggalah Nasi Kandar Pulau Pinang, kambing panggang Smoked

Hickory, Japanese Teppanyaki dan puluhan aneka pencuci mulut.
   
Program itu secara tidak langsung berjaya memberi kanak-kanak bertuah dari keluarga Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) secubit rasa kemewahan dalam bentuk makanan walaupun hanya sekali seumur hidup.
   
Menurut Pengurus Besar KLCC, Datuk Peter Brokenshire Chaplin, mereka memberi peluang kepada kanak-kanak yang berbeza setiap tahun untuk menyertai acara yang telah dijadikan tradisi sejak lima tahun lepas.
   
"Antara lain ia bertujuan memberi penghargaan dan galakan untuk kakitangan menjalin hubungan dengan tetamu yang diraikan selain bagi kami membalas semula sokongan masyarakat yang mendukung kejayaan KLCC selama ini", katanya.
  
PERKEMBANGAN MINDA

Istimewanya kedua-dua badan kebajikan yang terlibat ialah mereka bukanlah rumah perlindungan kebajikan biasa sebaliknya menyediakan peluang dan pengisian untuk perkembangan minda yang biasanya dikecapi oleh kanak-kanak yang berkemampuan.
   
Yellow House adalah satu program mentor ‘Healthy Arts’ yang mengunakan seni sebagai medium menyemai nilai-nilai penting dalam usaha memaksimumkan potensi dan peluang kehidupan kanak-kanak kurang berkemampuan.
   
Manakala Living Hope pula bertindak sebagai pusat sumber yang memastikan pendidikan dan makanan untuk kanak-kanak miskin tegar seluruh negara dapat disediakan.
   
Semua 80 kanak-kanak yang terlibat juga mendapat sumbangan kuih raya dan duit raya berjumlah RM100 untuk persiapan raya. Bernama