SHAH ALAM – Pasukan penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, telah merampas beberapa dokumen penting daripada pejabat Felda Investment Cooperation (FIC) berhubung pembelian sebuah hotel empat bintang di London sekitar tahun antara 2013 hingga 2015.

SPRM dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyiasat yang dianggotai tujuh pegawai SPRM berkenaan tiba di pejabat FIC pada kira-kira pukul 10.30 pagi.

"Segala urusan dan prosuder selesai kira-kira jam 5:45 petang," petik kenyataan SPRM.

Menurut SPRM lagi, pasukan penyiasat juga telah menyerahkan notis kepada beberapa orang saksi penting untuk hadir ke pejabat SPRM untuk diambil keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Baru-baru ini, SPRM, dalam satu kenyataan, menyatakan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Hasil maklumat siasatan awal mendapati FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga jauh lebih tinggi daripada harga pasaran sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, pasukan siasatan akan meneliti semua dokumen dan maklumat yang telah diperolehi ketika hadir ke pejabat FIC.

Beliau juga berkata, saksi-saksi penting akan mula dipanggil esok untuk merakam percakapan bagi membolehkan pasukan penyiasat melengkapkan kertas siasatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberi kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) bagi memastikan tadbir urus agensi kerajaan bebas daripada isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.
  • SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa melakukan sikap dwi-standard dalam isu projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan yang dibuat Naib Presiden Warisan, Peter Anthony berhubung ditanya tentang kekuatan parti itu ketika ditahan reman SPRM.
  • KAJANG - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan serbuan di beberapa lagi lokasi di Pulau Pinang berhubung isu siasatan projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion.
  • GEORGETOWN - Siasatan SPRM berhubung kajian terowong dasar laut di Pulau Pinang kini melibatkan proses pembidaan yang dijalankan untuk melantik syarikat bagi tujuan menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu.