ALOR SETAR - Kerajaan akan terus mempertahankan empat prinsip utama dalam Akta Hasutan 1948 jika dipinda atau diganti akta yang baharu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia perlu dikekalkan demi menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini. 

Beliau berkata, empat prinsip yang perlu dikekalkan ialah kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu sebagai raja  berperlembagaan, kedudukan hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Sekiranya ada individu atau mana-mana organisasi yang menyentuh atau mempertikaikan salah satu prinsip itu, mereka boleh dikenakan tindakan bawah Akta Hasutan,” katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah di TH Hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, Akta Hasutan akan terus dipergunakan selagi belum mempunyai akta baru atau dipinda. 

“Kerajaan komited untuk melakukan transformasi politik. Kita bersetuju dengan saranan yang dilontarkan tetapi memerlukan waktu untuk memindanya tetapi belum  mempunyai draf,” katanya.

Beliau berkata, draf yang ada pada ketika ini hanyalah dari organisasi luar dan bukan disediakan  kerajaan. 

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam soal siasatan terhadap isu-isu sensitif seperti termaktub dalam perundangan dan selagi belum ada undang-undang  baharu, saya akan pastikan mana-mana individu yang menyentuh empat perkara itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengetuai pasukan kerajaan dalam rayuan terhadap keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan 1948 tidak mengikut perlembagaan.
  • KUALA LUMPUR - Tiga bekas anggota Kabinet yang didakwa membocorkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Rakyat akan turut disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 selain Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
  • KUALA LUMPUR - Naib Ketua Pemuda Amanah, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar diperintah membela diri daripada pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut dalam perhimpunan #kitalawan dihadapan Kompleks Sogo tahun lepas.
  • KUALA LUMPUR - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan undang-undang ke atas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy kerana penghinaannya terhadap ulama merupakan satu jenayah.
  • PUTRAJAYA - Jabatan Peguam Negara menghentikan pendakwaan terhadap pensyarah undang-undang Prof Madya Dr Azmi Sharom di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.