PETALING JAYA - Seorang lelaki yang menyerah diri dengan membawa mayat kekasihnya ke Balai Polis Damansara minggu lepas, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh wanita itu di tempat letak kereta sebuah pasar raya besar.

M. Gunasegaran, 37, seorang pengawal keselamatan didakwa telah membunuh seorang kerani, D. Tharani, 35, di tempat letak kereta Pasar Raya Giant Kota Damansara, pada 1.50 tengahari, 5 Februari  lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham.

Lelaki yang berbaju t-putih dan bekerja di tempat sama dengan mangsa itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan peguam M. Manoharan  hadir sebagai peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.

Turut kelihatan di galeri awam mahkamah adalah bapa mangsa, M. Devarajoo, 67, serta kakaknya D. Gunavathi. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PETALING JAYA - Seorang lelaki menyerah diri di Balai Polis Damansara sejurus dipercayai menikam teman wanitanya di parkir kenderaan sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.