PARIT BUNTAR - Bahana amukan seorang lelaki bersenjatakan parang,

lebih 20 pelanggan sebuah restoran di Pusat Bandar, di sini bertempiaran lari menyelamatkan diri dari restoran itu, awal pagi tadi.

Saksi kejadian Ismaily Abd Latif, 32,berkata, dalam kejadian sekitar jam 1.40 pagi, dia bersama beberapa rakan sedang minum di luar restoran berkenaan.

Menurutnya, sedang leka bersembang, mereka dikejutkan dengan suara jeritan dari dalam restoran itu.

"Ketika itu, kelihatan seorang lelaki tanpa memakai baju dan hanya berseluar pendek, mengamuk tanpa sebab.

"Saya bersama pelanggan lain bertempiaran lari apabila lelaki terbabit mengamuk sambil menghentakkan pisau pemotong ayam pada perkakas restoran berkenaan.

"Lebih mengejutkan, suspek itu turut mengacukan pisau kepada orang ramai dan pekerja premis yang cuba menenangkannya," katanya kepada media di sini pagi tadi.

Ismaily berkata, tindakan agresif suspek turut menyebabkan perkakas premis terbabit diterbalikkan termasuk kerusi dan meja malah ada di antaranya yang rosak.

Katanya, hampir 10 minit orang ramai cuba menenangkannya namun gagal sehinggalah anggota polis tiba.

"Tindakan pantas pihak polis dan kerjasama orang ramai membantu menahan suspek terbabit," katanya.

Sementara itu, pemilik premis, Rashid Khan Ismath Unoon, 41, memaklumkam kerugian dianggarkan pihaknya sekitar RM15,000.

Menurutnya, dia yang ketika itu berada di Taiping, terkejut dengan kejadian terbabit setelah dimaklumkan pekerjanya dan segera membuat laporan polis.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya dengan kerjasama orang awam berjaya menahan lelaki terbabit.

Menurutnya, sewaktu ditahan suspek berkenaan bertindak agresif.

"Suspek berusia 33 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu berjaya ditangkap dan polis turut merampas senjata  digunakannya.

"Punca kejadian belum dikenal pasti dan suspek dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan dan siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :