Hamza Kashgari
$entry.content.caption.value
Hamza Kashgari
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM - Wartawan Arab Saudi, Mohammad Najeeb A. Kashgari, yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W, dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lalu, dihantar pulang ke negara itu hari ini.

Mengumumkan pendirian kerajaan Malaysia menerusi satu kenyataan hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata,  "kerajaan Malaysia mengesahkan penahanan  Mohammad Najeeb A. Kashgari, seorang rakyat Arab Saudi di KLIA pada 9 Februari lalu."

"Penahanan itu dibuat atas permintaan pihak berkuasa Arab Saudi," kata beliau.

Laporan media sebelum ini merujuk lelaki itu sebagai Hamza Kashagari.

Dia dihantar balik ke negaranya hari ini menerusi pesawat khas.

Pertubuhan hak asasi manusia membantah keputusan menyerahkan dia kepada Arab Saudi.

Peguam-peguamnya memohon injunksi hari ini bagi membolehkannya tinggal di Malaysia sehingga kesnya didengar. Kedua-dua Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan dan kerjasama yang baik.

Menurut Hishammuddin, Malaysia sudah lama mengguna pakai perjanjian yang membolehkan individu-individu yang dikehendaki oleh sesebuah negara dihantar pulang ke negara masing-masing.

"Dan, Mohammad Najeeb A. Kashgari akan dihantar pulang di bawah perjanjian ini. Bentuk tuduhan ke atas individu ini dalam kesnya adalah urusan pihak berkuasa Arab Saudi," katanya lagi.

Laporan Bernama minggu lalu menyebut Polis Diraja Malaysia telah menahan lelaki itu yang dikehendaki oleh kerajaan negara itu kerana dilaporkan menghina Islam dan Nabi Muhammad S.A.W.

Lelaki itu ditahan polis sejurus tiba di KLIA setelah melarikan diri dari Arab Saudi.

Dia dilaporkan telah mengeluarkan satu laporan yang menghina Islam melalui Twitternya, yang menyebabkan kemarahan rakyat Arab Saudi.

Menurut laporan media Arab Saudi, Hamza mengeluarkan laporan itu pada hari sambutan Maulidur Rasul minggu lepas dengan membayangkan seolah-olah dirinya berinteraksi dengan Nabi Muhammad S.A.W dan seolah-olah kedua-dua mereka adalah sama taraf.

Hamza turut menyatakan ada sifat Nabi Muhammad S.A.W yang disukai dan tidak disukainya.

Media negara itu melaporkan susulan tulisan lelaki itu, sebanyak 30,000 entri Twitter yang marah dengan laporannya dibuat dalam tempoh kurang 24 jam.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.