'Rombak sistem tender pun tak guna jika lantik tak ikut tapisan'

Rombakan menyeluruh terhadap sistem tender dan perolehan dalam ATM dilihat tidak mencukupi untuk memutuskan rangkaian rasuah. Gambar kecil: Khlir
Rombakan menyeluruh terhadap sistem tender dan perolehan dalam ATM dilihat tidak mencukupi untuk memutuskan rangkaian rasuah. Gambar kecil: Khlir
A
A
A

SHAH ALAM – Rombakan menyeluruh terhadap sistem tender dan perolehan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilihat tidak mencukupi untuk memutuskan rangkaian rasuah sekiranya tapisan keselamatan tidak dijadikan asas utama dalam pelantikan pegawai atasan pasukan keselamatan itu.

Bekas Asisten Ketua Staf Perisikan Markas Tentera Darat, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd Nor berkata, ketegasan kerajaan dalam membanteras rasuah perlu diterjemahkan melalui tindakan menyeluruh dengan memastikan hanya pegawai berintegriti dilantik ke jawatan strategik.

Kata Ahli Parlimen Ketereh itu, amaran keras atau rombakan sistem semata-mata tidak mencukupi seandainya individu yang mempunyai kepentingan atau rekod meragukan masih diberi peranan penting dalam rantaian membuat keputusan.

“Rangkaian rasuah tak akan putus selagi keputusan tapisan keselamatan kenaikan pangkat pegawai diabaikan dan pemimpin dipilih tidak ada integriti selain pemantauan terhadap pegawai juga tidak dilakukan.

“Dulu keputusan tapisan keselamatan yang dibuat perisikan ATM diambil kira dan ada antara pegawai yang tak dapat naik pangkat. Tapi sekarang ini keputusan tapisan berkenaan seolah-olah dilempar ketepi,” dakwanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilapor memberi amaran keras kepada ATM dan mengumumkan rombakan menyeluruh sistem tender serta perolehan selain memaklumkan tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap budaya ‘yeye’, buli dan salah laku moral dalam ATM.

Mengulas lanjut, Khlir menjelaskan, tapisan keselamatan untuk mendapatkan maklumat terperinci berkait seseorang pegawai termasuk jumlah pemilikan harta, liabiliti dan perihal peribadinya seperti jumlah isteri.

“Daripada tapisan ini memang dapat tahu jika seseorang itu terlibat rasuah, salah laku atau jika dia terpalit budaya 'yeye' sekalipun, dengan syarat tapisan juga perlu dibuat dengan betul. Tapisan ini ditetapkan untuk kenaikan pangkat pegawai ATM.

“Mereka yang mengendalikan tapisan keselamatan ini juga mesti dipastikan 'bersih' dan jangan pula ada kaitan dengan 'kartel' rasuah atau penyelewengan,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Khlir yang berkhidmat hampir 40 tahun dalam ATM turut menyarankan supaya calon yang mahu dilantik memegang jawatan tertinggi dalam ATM terutamanya Panglima Angkatan Tentera, Panglima Tentera Darat, Panglima Tentera Laut dan Panglima Tentera Udara perlu menghadap serta melalui tapisan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen terlebih dahulu.

Katanya, ia kerana kepimpinan tertinggi termasuk menteri dan panglima mesti memiliki akhlak serta integriti tinggi selain tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi bagi memastikan reformasi ATM dapat dilakukan.

Menyentuh mengenai amaran untuk menyingkirkan pegawai yang terlibat budaya ‘yeye’ pula, Khlir berpandangan, tindakan sepatutnya perlu tertumpu kepada pemimpin yang membenarkan budaya tersebut berakar dan bukannya kepada pegawai bawahan.

Ringkasan AI

  • Rombakan sistem tender dan perolehan ATM tidak cukup tanpa asas tapisan keselamatan yang kuat
  • Ketegasan dalam memilih pegawai berintegriti ke jawatan strategik penting untuk membanteras rasuah
  • Pentingnya menerapkan tapisan keselamatan yang mendalam termasuk maklumat peribadi pegawai sebelum kenaikan pangkat
  • Mereka yang bertanggungjawab dalam tapisan keselamatan juga harus bebas dari rasuah dan penyelewengan
  • Calon untuk jawatan tertinggi di ATM perlu melalui tapisan keselamatan Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan Parlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!