TELUK INTAN - Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kawasan Parlimen Pasir Salak, Teluk Intan dan Bagan Datuk di sini dimasukkan dalam Rangka Tindakan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).            

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, ketiga-tiga kawasan itu perlu dimasukkan ke dalam NCER kerana ia agak ketinggalan berbanding kawasan lain di Perak.   

"Walaupun ada Timbalan Perdana Menteri di Bagan Datuk, Timbalan Menteri di Pasir Salak dan Menteri di Teluk Intan, namun kita terpaksa akui ketiga-tiga kawasan ini masih ketinggalan, sebab kita di kawasan hilir.            

Jadi kita mahu supaya diwujudkan satu sektor atau satu unit dalam NCER untuk lembangan Perak Hilir. Kita juga mahu lihat bangunan yang besar dibina di Changkat Jong di Teluk Intan, Kampung Gajah di Pasir Salak dan Hutan Melintang di Bagan Datuk," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Teluk Intan di sini hari ini.            

Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong merupakan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, manakala Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman adalah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.          

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno dan kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno berkata, seseorang pemimpin tidak wajar untuk menongkat langit kerana setiap individu mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing.           

"Akuilah hakikat bahawa sebagai pemimpin kita ada kelebihan dan kita ada kelemahan. Sebagai manusia kita bukan maksum, bukan sempurna, ada kekuatan dan kelemahan.          

"Tetapi apabila zaman kita dah berlalu, jangan beri komen yang negatif kepada orang yag ambil alih tempat kita, takut-takut yang baik itu kita tak nampak tetapi yang buruk kita nampak," katanya.            

Beliau turut mengingatkan bahawa apabila seseorang pemimpin mempunyai jawatan ia bukanlah disebabkan kekuatan pemimpin itu sendiri, tetapi hasil sokongan daripada anggota di peringkat akar umbi. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.